'Malam Budaya India' Platform Terbaik Tonjol Kebudayaan Masyarakat India

Last update: 20/04/2014

LABUAN, 20 April (Bernama) -- Malam Budaya India 2014, anjuran pelajar India Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS KAL) merupakan platform terbaik pelajar India menonjolkan kebudayaan mereka kepada masyarakat lain, kata Timbalan Menteri Pendidikan P. Kalamanathan.

Katanya semangat pelajar India menganjurkan malam budaya itu bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan lebih rapat dalam kalangan masyarakat India sendiri tetapi juga memberi peluang kepada kaum lain mengenali lebih rapat keunikan budaya kaum berkenaan.

"Para pelajar seharusnya berasa bangga dengan usaha mereka menganjurkan malam kebudayaan ini kerana ia dilihat sebagai mengekalkan warisan zaman berzaman kaum India," katanya ketika berucap pada majlis Malam Budaya India 2014 di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS Prof Madya Datuk Dr Kassim Md Mansur, anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dan Pengerusi MIC Sabah Datuk V. Jothi.

Menurut Kalamanathan penganjuran malam budaya India berkenaan juga merupakan kejayaan pelajar UMS KAL menyemarakkan program bercorak kebudayaan di negara ini sekali gus berkongsi kebudayaan mereka dengan pelajar luar negara yang menuntut di kampus itu.

Kalamanathan berkata selaras dengan usaha kerajaan yang ingin menjadikan rakyat Malaysia lebih bertoleransi dan penyayang, pogram seumpama itu sangat baik dalam memupuk sifat menghormati budaya kaum lain terutama golongan mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin negara di masa depan.

Sementara itu, beliau meminta golongan mahasiswa yang menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya bijak mengawal perbelanjaan mereka.

Katanya beliau menerima pelbagai keluhan pelajar yang mengatakan pinjaman PTPTN itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka di kampus dan berjanji akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA