Setiap Warga TUDM Perlu Miliki Keupayaan Unggul - Raja Muda

Last update: 27/03/2014

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu setiap warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memiliki keupayaan unggul demi mempertahankan kedaulatan negara.



Baginda turut berharap mereka secara berterusan meningkatkan tahap profesionalisme dan memiliki kemahiran tinggi termasuk mengendalikan sistem pesawat yang canggih.



Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Istana Arau Khamis, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah demikian dalam lawatan kerja ke Pangkalan TUDM Gong Kedak, Terengganu semalam.



Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.



Tuanku Syed Faizuddin juga menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan TUDM dalam memperkukuh sistem pertahanan negara bersama-sama perkhidmatan darat dan laut demi keselamatan negara tercinta.



Baginda turut mengingatkan agar semua aset strategik yang dimiliki oleh TUDM sentiasa diselenggara dengan baik dan bersistematik agar dapat diguna dalam apa juga persekitaran keselamatan.



"Ini kerana dalam persekitaran strategik dan keselamatan global yang tidak menentu kini, salah satu tonggak utama dalam memastikan sesebuah negara itu terus kekal sebagai negara berdaulat adalah keupayaan ketenteraannya," titah baginda.



Dalam lawatan kerja itu baginda diberi taklimat oleh Komander Pangkalan TUDM Gong Kedak, Kolonel Zahani Zainal Abidin. Hadir sama Timbalan Panglima Tentera Udara Lt. Jen. Datuk Seri Roslan Saad dan Panglima Divisyen Pertama Udara Mej. Jen. Datuk Azizool Arif Abdul Ghani.



Dalam lawatan dua hari baginda di Terengganu, Tuanku Faizuddin turut berangkat melawat Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Besut.



-- BERNAMA