Lebih ramai akan cari kerja baharu dalam tempoh 12 bulan ini - Kaji selidik

Last update: 05/08/2020

KUALA LUMPUR, 5 Ogos --  Randstad menerusi kaji selidiknya “The 2020 COVID-19 Labour Pulse Survey” mendedahkan lebih satu daripada dua responden tempatan (58 peratus) menyatakan hasrat untuk mencari pekerjaan dalam tempoh 12 bulan ini.

Peneraju global dalam industri perkhidmatan Sumber Manusia ini telah menjalankan kaji selidik ke atas 531 pekerja dalam negara antara 26 Jun, 2020 dan 5 Julai, 2020, untuk memahami sentimen tenaga kerja tempatan mengenai pasaran pekerjaan tahun ini dan cabaran serta pengalaman pencari kerja setakat ini.

 Kaji selidik itu turut mendapati daripada 58 peratus responden, 24 peratus berhasrat menukar kerjaya atau industri yang mereka ceburi; 13 peratus menyatakan kemahiran dan pengalaman mereka tidak lagi memenuhi keperluan kerja semasa dan 15 peratus pula menyebut mereka telah diberhentikan.

Selebihnya pula memberikan alasan berkaitan gaji untuk mereka menukar majikan, dengan 26 peratus responden melaporkan telah mengambil pengurangan gaji atau pembekuan gaji, sama ada untuk tempoh selamanya atau untuk sementara; 24 peratus pula tidak puas hati dengan gaji mereka sekarang.

Selain itu, 72 peratus daripada semua responden bersedia untuk mengambil kerja secara kontrak profesional atau berasaskan projek dalam keadaan pasaran buruh semasa.

Dan daripada 28 peratus yang tidak cenderung kepada kerja secara kontrak, 70 peratus memberi contoh kekurangan keselamatan dan kestabilan kerja sebagai alasan mengapa mereka lebih rela menunggu tawaran kerja tetap.

Sementara itu Pengarah Urusan Randstad (Malaysia dan Singapura) Jaya Dass berkata pandemik COVID-19 telah menyaksikan syarikat-syarikat melabur dalam membina infrastruktur dan rangkaian digital, yang menjurus kepada sejumlah besar pekerjaan telah didigitalkan atau dipindahkan.

-- BERNAMA