COVID-19: UUM laksana kuliah secara dalam talian mulai 5 April

Last update: 16/03/2020

ALOR SETAR, 16 Mac -- Selepas Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) pula mengumumkan bahawa ia juga akan menjalankan semua kuliah secara dalam talian apabila semester baharu bermula 5 April ini dalam usaha membendung penularan virus COVID-19.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof Dr Yusnidah Ibrahim berkata pelaksanaan itu membenarkan semua pelajar untiversiti itu untuk mengikuti kuliah secara dalam talian dari luar kampus termasuk dari tempat tinggal pelajar masing-masing.

"Penularan wabak COVID-19 di Malaysia menunjukkan peningkatan dan pihak UUM amat prihatin dengan kebajikan pelajar, pensyarah dan seluruh warga universiti terutamanya dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam dan luar kampus.

"Bermula semalam hingga 26 Mac ini, semua kuliah akan berjalan seperti biasa namun pihak universiti tidak menghalang sekiranya ada pensyarah yang ingin mengendalikan kuliah secara dalam talian bermula minggu ini kerana pelaksanaan itu hanya bermula pada 5 April," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Yusnidah berkata, sebarang komunikasi antara pelajar dengan pensyarah, pusat pengajian dan lain-lain jabatan di UUM juga akan dilakukan secara dalam talian atau laman sosial.

"Semua bentuk penilaian sama ada peperiksaan pertengahan semester, tugasan, kuiz, pembentangan projek dan peperiksaan akhir yang akan bermula dari 31 Mei hingga 27 Jun hadapan juga akan dilakukan secara dalam talian dan kaedah lain akan dimaklumkan oleh pihak universiti kelak.

"Cuti pertengahan semester bagi pelajar program sarjana muda dari 27 Mac hingga 4 April ini juga akan diteruskan seperti biasa. Pelajar dari Sabah, Sarawak, antarabangsa dan pelajar yang mempunyai keperluan tertentu boleh memilih untuk berada di dalam atau luar kampus semasa dan selepas cuti semester," katanya.

Bagaimanapun, kumpulan pelajar itu perlu mendaftarkan diri mereka kepada pihak Inapan Siswa (INASIS) bagi tindakan pemantauan seterusnya.

Semalam, Naib Canselor USM Prof Dr Faizal Rariq Mahamd Adikan berkata universiti itu mula menjalankan semua kuliah dalam talian bermula semalam untuk membendung penularan virus COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Sementara itu, Jawatankuasa Akademik Universiti Teknologi Petronas (UTP) juga membuat keputusan semua aktiviti mengajar dan pembelajaran serta penilaian akan dikendalikan menerusi platform dalam talian berkuat kuasa hari ini sehingga Jumaat (20 Mac).

Naib Canselor Akademik UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, pensyarah diminta memuat naik bahan mengajar dan pembelajaran ke dalam UTP Virtual Learning Environment (ULearn).

"Semua komunikasi antara pensyarah dan siswa-siswi hendaklah dilaksanakan menerusi dalam talian bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran.

"Mahasiswa diminta mengambil perhatian terhadap pembelajaran secara sendiri sepanjang tempoh itu. Kami akan sentiasa memaklumkan mengenai arahan terbaharu berhubung dengan pengajaran dan pembelajaran bagi selebih semester Januari 2020,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook UTP hari ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran juga menggalakkan para pensyarah UPSI untuk menggunakan sistem pengurusan pembelajaran dalam talian universiti berkenaan iaitu MyGuru bagi pelaksanaan pembelajaran dalam talian sekiranya sesi pengkuliahan melibatkan lebih 50 orang.

Beliau berkata, pihak universiti menggesa agar semua perhimpunan yang melibatkan warga UPSI di dalam dan luar kampus ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.

“Semua warga UPSI yang telah atau akan pulang dari luar negara termasuk pelajar yang baru kembali dari latihan industri dan latihan mengajar terutamanya dari negara terkesan COVID-19 wajib melapor dan membuat saringan kesihatan dengan segera di Pusat Kesihatan Universiti,” katanya.

Sementara itu, di SHAH ALAM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengarahkan semua kampusnya di seluruh negara melaksanakan sesi penyampaian dan pembelajaran secara dalam talian serta-merta bermula hari ini dalam kawalan pencegahan wabak berkenaan.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, surat pekeliling mengenai arahan itu diedarkan mulai hari ini dan ia berkuatkuasa sehingga 3 April atau 4 April ini mengikut kampus cawangan masing-masing namun sebarang makluman lanjut akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Arahan pekeliling ini terpakai kepada semua staf dan pelajar. Mana-mana staf atau pelajar yang gagal mematuhi arahan itu akan dikenakan tindakan tatatertib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Prof Dr Azizan Abdullah berkata UiTM juga menangguhkan sebarang bentuk aktiviti luar membabitkan 13 kampus UiTM di seluruh negara sebagai usaha mencegah jangkitan COVID-19 dalam kalangan 165,000 siswa-siswinya.

Antara aktiviti luar termasuk acara sukan seperti karnival sukan mahasiswa, sukan antara fakulti dan kolej kediaman, pertandingan silat Piala Naib Canselor, liga badminton dan festival Pusat Sains Negara.

“Turut ditangguh konvokesyen yang dijadual pada 24 Mac ini dan sebarang bentuk acara lawatan ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Zero Hunger 2020 UiTM Cawangan Kelantan di Machang, hari ini.

Di KUANTAN, Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran (P&P) menggunakan aplikasi dalam talian bagi membendung penularan COVID-19. 

Naib Canselornya Profesor Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata perubahan cara P&P itu berkuat kuasa serta merta sehingga 12 April ini di kampus induknya di Pekan dan kampus Gambang di sini. 

Sepanjang tempoh arahan itu berkuat kuasa, semua staf akademik perlu menjalankan P&P melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran UMP (KALAM) pada masa kuliah sebenar menggunakan aplikasi talian bersesuaian. 

"Selain itu, staf pentadbiran dan akademik juga dikehendaki melaksanakan kerja dari rumah kecuali mereka yang terlibat dengan tugas berkaitan kepentingan universiti seperti keselamatan atau kesihatan serta staf yang diarahkan bertugas," katanya menerusi kenyataan media  hari ini.

Wan Azhar berkata UMP sebelum ini juga telah membuat ketetapan untuk menangguhkan semua program atau aktiviti melibatkan perhimpunan temasuk program dalaman atau luar universiti.

-- BERNAMA