UMK harap kerajaan baharu tumpu aspek kecemerlangan universiti

Last update: 11/03/2020

Oleh Bashariah Zainuddin

BACHOK, 11 Mac -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berharap kerajaan baharu menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dapat meneruskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) terutama menumpukan dari segi kecemerlangan universiti.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof Ts. Dr Arham Abdullah berkata jika sebelum ini kementerian pengajian tinggi dan kementerian pendidikan digabungkan menjadi kementerian pendidikan menyebabkan potfolio menjadi besar.

“KPT kini dikembalikan statusnya sebagai sebuah kementerian yang menumpukan kepada urusan mentadbir termasuk meningkatkan prestasi universiti sebagai sebuah pusat kecemerlangan,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini, hari ini.

Arham berkata demikian ketika diminta mengulas langkah kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi. Datuk Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi manakala Datuk Dr Mansor Othman sebagai timbalan menterinya.

Beliau berkata pelan tersebut terdapat 10 lonjakan dan lonjakan ketujuh adalah berkaitan ekosistem inovasi yang menyaksikan industri, akademia, kerajaan bekerjasama dengan universiti dalam usaha membantu merekayasakan komuniti.

Katanya sebagai sebuah universiti menumpukan pada keusahawanan, UMK akan meneruskan visi dan misi untuk melahirkan pelajar yang bukan hanya bergantung kepada pasaran pekerjaan disediakan kerajaan malah mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda pada masa akan datang.

“Harapan UMK kepada kerajaan baharu peruntukan bernilai RM400 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2020 kepada semua institusi pengajian tinggi awam terutama bagi bidang penyelidikan dan inovasi dapat diteruskan,” katanya.

Arham berkata beliau yakin dengan kewibawaan menteri dan timbalan menteri yang baharu yang pasti faham dengan keperluan universiti dan akan memudahkan untuk UMK mencapai matlamat sebagai satu-satunya universiti berfokus keusahawanan di negara ini.

Beliau berkata UMK juga memberi tumpuan terhadap aspek perlindungan alam sekitar dengan mempunyai fakulti khas ‘Sains Bumi’ yang kebanyakan penyelidikan berkisar bidang biodiversiti seperti yang terkandung dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 yang memberi tumpuan pada konservasi hutan, galian dan sebagainya.

Berhubung Kementerian Alam Sekitar yang diterajui Menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man, Arham berkata, UMK berharap boleh bekerjasama dengan lebih rapat lagi dengan kementerian itu khususnya dalam menjaga alam sekitar .

“Kita harap pihak kementerian boleh bekerjasama dengan universiti dalam menggunakan fasiliti termasuk makmal yang sedia ada di universiti untuk perkhidmatan analisis dan nasihat bagi memastikan keselamatan dan kualiti air yang digunakan terjamin.

“UMK bersedia berkongsi kepakaran yang ada di universiti terutama pensyarah yang pakar membuat kajian dalam bidang perhutanan, tumbuh-tumbuhan, spesies haiwan yang terancam dan lain-lain untuk manfaat masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA