Kadar kebolehpasaran graduan Unimas cecah 90.7 peratus -- Naib Canselor

Last update: 05/03/2020

KOTA SAMARAHAN, 5 Mac  -- Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) kini mencecah 90.7 peratus yang juga angka tertinggi dicatatkan universiti berkenaan.

Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Mohamad Kadim Suaidi berkata, sebelum ini kadar tertinggi pernah dicatatkan 81 peratus tahun lepas, yang mana universiti ini juga telah berjaya menjadi universiti terbaik Borneo dan dalam kelompok 11 universiti terbaik Malaysia.

"Antara kejayaan signifikan Unimas ialah ia dinobatkan sebagai antara 1001 universiti terbaik dunia mengikut Times Higher Education, World University Ranking,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Gemilang Unimas di kampus universiti itu di sini, hari ini.

Menurut beliau, Times Higher Education turut menyenaraikan subjek kejuruteraan dan teknologi Unimas di kedudukan ke-801 terbaik dunia, sementara subjek ekonomi dan perniagaannya pada kedudukan ke-501 terbaik dunia.

“Unimas turut berada pada kedudukan 301 terbaik dunia dalam Young World University Rankings dan 201 terbaik  dunia oleh University Impact Rankings,” katanya.

Pada majlis anugerah itu, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Mohd Shahabuddin Omar menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 154 petugas Unimas, Anugerah Perkhidmatan Setia (25) dan sijil persaraan (21).

-- BERNAMA