Jimat masa, kos melancong ke Pulau Payar dari tanah besar

Last update: 19/02/2020

ALOR SETAR, 18 Feb -- Pelancong yang berkunjung ke Kedah khususnya di tanah besar kini boleh terus ke Pulau Payar yang terkenal dengan keindahan pantai dan hidupan marin dengan perjalanan hanya 30 minit menaiki bot dari Jeti Kuala Jerlun dekat sini.

Sebelum ini, pelancong yang mahu ke taman laut itu, biasanya akan mengambil pakej dari Pulau Langkawi atau Pulau Pinang, namun bagi yang mendambakan percutian indah di pulau itu dengan kos yang lebih rendah, mereka boleh memilih perjalanan dari tanah besar.

“Itulah yang kami tawarkan, pakej ke Pulau Payar dengan bot khas terus dari tanah besar dengan harga yang cukup berpatutan selain turut menjimatkan masa pelanggan kami," kata Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah, Ahmad Mohd Jaeh kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Katanya dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan nelayan di kawasan itu, pihaknya memohon lesen daripada Jabatan Laut bagi membolehkan nelayan membawa pelancong yang ingin ke Pulau Payar dari Jeti Kuala Jerlun, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar raya ini.

"Kami juga mendapat sokongan dan bantuan dana daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk perolehan bot-bot yang memenuhi piawaian dan spesifikasi bagi memenuhi syarat-syarat lesen seperti ditetapkan oleh Jabatan Laut.

"Kapten yang mengemudi bot-bot kami terdiri daripada nelayan yang bertauliah dan terlatih, manakala bagi setiap penumpang mereka diinsuranskan dan bagi memastikan tahap keselamatan berada di tahap optimum, jaket keselamatan disediakan termasuk untuk penumpang kanak-kanak," kata Ahmad.

Menurut beliau, PNK Kuala Kedah mempunyai lima buah bot yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan khusus untuk pakej perjalanan sehari (dari pagi hingga petang) ke Pulau Payar.

"Harga pakej bermula serendah RM1,000 bagi sebuah bot berkapasiti 12 orang dan pihak kami juga menyediakan makanan atas permintaan pelanggan," katanya.

Beliau berkata antara tarikan isitimewa yang terdapat di taman laut itu ialah pengunjung dapat melihat hidupan laut yang unik dan menarik dengan lebih dekat di samping dapat menyaksikan terumbu karang yang indah di dasar laut.

"Peralatan untuk aktiviti ‘snorkeling’ kami sediakan dan mereka yang gemar menyelam boleh menyaksikan kecantikan terumbu karang di sekitar pulau berkenaan," katanya.

Katanya sejak menawarkan perkhidmatan itu Oktober tahun lepas, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan pihaknya berharap dapat menambah jumlah bot bagi membolehkan lebih banyak perjalanan dibuat dalam satu masa.

Katanya selain perjalanan ke Pulau Payar, PNK Kuala Kedah juga menerima tempahan bot untuk aktiviti memancing di luar kawasan taman laut dengan kadar sewa dari RM500 hingga RM600 sehari.

-- BERNAMA