RTM ketengah lebih banyak elemen kepelbagaian kaum dalam drama

Last update: 12/02/2020

KUALA LUMPUR, 12 Feb -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Unit Dramanya akan mengetengahkan lebih banyak elemen kepelbagaian kaum dalam drama dan telefilem terbitannya selaras dengan hasrat kerajaan bagi memupuk semangat perpaduan di negara ini.

Pengurus Unit Drama TV RTM Rahayu Wahid berkata hingga kini pihaknya giat menerapkan elemen tersebut khususnya dalam kapsul Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) yang disiarkan di saluran televisyen dan radio RTM.

“Dalam drama-drama terbitan kami juga, memang kami wujudkan watak bukan Melayu dalam drama Melayu kerana realiti di Malaysia, kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum.

“Kalau kita tengok dalam telefilem terbaru RTM ‘Berdua’ yang akan ditayang nanti, watak pelakon wanita utama, Sutera adalah kaum India dan kita mungkin tidak pernah tengok terutamanya dalam drama-drama Melayu," katanya kepada Bernama selepas majlis pratonton telefilem 'Berdua' di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, di sini hari ini.

Telefilem terbitan Unit Drama Televisyen RTM itu berkisar tentang kisah bekas peguam, Sutera (K. Sangeetha) ingin menebus kesilapan beliau kerana memenjarakan banduan, Al (Faizal Hussein) yang tidak melakukan kesalahan.

Sutera yang cuba membaiki kesilapan itu, telah membuat rayuan dan dipersetujui pihak mahkamah  dengan syarat Al perlu menjalani parol dan dibuang daerah selama beberapa tahun.

Drama arahan Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2019 Wan Afzam Wan Daud itu, dibintangi Faizal Hussein, K. Sangeetha, Gambit Saifullah, Mohd Kamarulzaman Taib (Che Kem) serta Zaidi Omar dan bakal ditayangkan pada 22 Feb ini di saluran TV1.

-- BERNAMA