King Henry VIII College tawar biasiswa Komanwel

Last update: 12/02/2020

CYBERJAYA, 12 Feb -- King Henry VIII (KH 8) College berpangkalan di sini, menawarkan 10 biasiswa setahun bermula Jun tahun ini sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Pengerusi Lembaga Gabenor KH 8 College, Datuk Benny Hoe Tze Fook berkata biasiswa itu ditawarkan kepada pelajar yang layak dari negara-negara membangun dalam Komanwel, dengan nilai lebih RM300,000 bagi tiap satu biasiswa.

“Permohonan untuk Anugerah Biasiswa Komanwel KH 8 College bermula pada Jun 2020 untuk  pengambilan September 2020.

“Enam biasiswa ditawarkan untuk akademik dan selebihnya untuk kategori seni, muzik dan sukan, bermula dengan mereka yang memasuki tingkatan enam penggal baharu pada September, 2020,” katanya pada ucapan alu-aluan sempena pelancaran program biasiswa di kolej berkenaan di sini, hari ini.

KH 8 College adalah cabang sekolah tertua di United Kingdom, iaitu Christ College Brecon, Wales, yang telah wujud sejak pemerintahan King Henry V111 hampir 500 tahun lepas.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Agung Komanwel, Baroness Patricia Scotland yang melancarkan Anugerah Biasiswa  Komanwel yang pertama dan Pengerusi Gabenor Christ College Brecon, Sir Paul Silk.

Sementara itu, Hoe menambah pelajar yang mahu memohon biasisawa itu perlu melalui proses pemilihan yang ketat bagi memastikan hanya pelajar terbaik dapat menikmati keistimewaan khas pendidikan ini.

“Kita mungkin buka biasiswa ini kepada kumpulan tahun lain kemudian, tetapi sebagai permulaan ia untuk pelajar tingkatan enam. Yuran asrama penuh akan dibayar bersama-sama semua bayaran tuisyen dan aktiviti berkaitan,” katanya.

Pada majlis sama, Baroness Scotland turut merasmikan auditorium baharu kolej yang dinamakan sempena nama beliau, ‘The Baroness Scotland Theatre’ , dengan kapasiti tempat duduk lebih 600 kerusi.

-- BERNAMA