Pengarah "Parasite" optimis dengan masa depan pengeluar filem Asia

Last update: 12/02/2020

LOS ANGELES, 12 Feb -- Selepas meraih kejayaan besar menerusi filem "Parasite", pengarahnya Bong Joon-ho optimis dengan masa depan pengeluar filem Asia, lapor agensi berita Xinhua.

"Saya fikir tidak perlu untuk wujudkan sempadan antara filem...Asia, Amerika Syarikat, Eropah...kita semua sama...pengeluar filem," kata Bong kepada Xinhua.

Filem arahannya itu melakar kejayaan cemerlang pada  Anugerah Akademi ke-92 di Los Angeles dengan merangkul empat anugerah.

"Dengan YouTube dan penstriman media, bahasa asing bukan lagi menjadi isu utama," katanya.

Ditanya bagaimana filem itu mampu menarik minat penonton, Boon berkata, "...lebih mendalam saya rungkai perkara di sekeliling saya, jalan cerita yang lebih menarik dapat saya hasilkan, dan menjadi daya tarikan kepada penonton antarabangsa."

Pada majlis anugerah di Dolby Theatre, Los Angeles, filem itu dinobatkan sebagai filem terbaik dan merangkul tiga lagi anugerah iaitu pengarah terbaik, lakon layar terbaik dan filem antarabangsa terbaik.

"Parasite" adalah filem bukan berbahasa Inggeris pertama memenangi kategori filem terbaik.

-- BERNAMA