Tiga kumpulan sasar 'Fasih Digital' tahun ini

Last update: 11/02/2020

PUTRAJAYA, 11 Feb  -- Murid sekolah, belia dan orang dewasa adalah tiga kumpulan sasar 'fasih digital' tahun ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.

Sejajar dengan tema sambutan Hari Keselamatan Internet 2020 - Edisi Malaysia iaitu Fasih Digital, Eddin Syazlee berkata kumpulan sasar itu perlu melengkapkan diri dengan elemen 5K - keselamatan siber, komunikasi, pemikiran kritis, kreatif dan kerjasama.

"Dengan adanya elemen ini, mereka mempunyai ilmu dan kemahiran teknologi, bertindak secara beretika dan bersikap positif serta berintegriti sebagai warga digital yang kompeten," katanya semasa berucap pada sambutan Hari Keselamatan Internet 2020 - Edisi Malaysia, di sini hari ini.

Melalui Fasih Digital, pengguna internet akan lebih memahami penggunaan teknologi dan cenderung membuat keputusan yang lebih bijak serta dalam masa yang sama dapat mempengaruhi pengguna internet lain supaya bertindak secara positif di samping mengamalkan nilai etika dan sahsiah diri yang tinggi.

Beliau berkata tiga kumpulan sasar itu dikenal pasti kerana mereka merupakan pengguna internet yang aktif, hidup dalam budaya digital interaktif ‘atas permintaan’ dan media sosial pula menjadi platform berpengaruh dalam kehidupan sosial mereka.

Eddin Syazlee berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyokong inisiatif yang membudayakan sikap positif, beretika dan berintegriti kalangan rakyat Malaysia ketika menggunakan kemudahan teknologi dan internet.

Menyingkap sejarah Hari Keselamatan Internet, Eddin Syazlee berkata ia mula diperkenalkan oleh InSAFE European Union yang berpangkalan di Brussels, Belgium pada 2004, iaitu sambutannya diadakan pada hari ke-2, minggu ke-2, bulan ke-2 (Februari) setiap tahun, dan kini lebih 150 negara menyambutnya. 

Pada tahun ini, Hari Keselamatan Internet peringkat global diraikan pada hari ini dengan tema sambutan Together for a Better Internet atau Bersama ke Arah Internet yang Lebih Baik.

Di peringkat Malaysia, CyberSecurity Malaysia menerajui sambutan Hari Keselamatan Internet di bawah satu daripada inisiatif program khidmat masyarakat iaitu Program CyberSAFE (Kesedaran Keselamatan Siber Untuk Semua) 

-- BERNAMA