Sabah bekerjasama dengan Shopee galak usahawan belia ceburi e-dagang

Last update: 11/02/2020

KOTA KINABALU, 11 Feb -- Kerajaan Sabah akan bekerjasama dengan Shopee, platform e-dagang nombor satu negara, dalam memberi latihan serta pengetahuan mengenai e-dagang kepada golongan belia yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan serta perniagaan secara atas talian.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata kerjasama itu dilihat mampu memantapkan lagi Program Apirasi Keusahawanan Belia Sabah (YEAP), program yang diperkenalkan kerajaan negeri ke arah memperkasakan lagi penglibatan golongan belia dalam perniagaan dengan setiap peserta memenuhi syarat layak menerima geran RM2,000.

Penggunaan e-dagang dalam perniagaan pada ketika ini amat penting dalam meningkatkan ekonomi digital selain ia juga berupaya membantu usahawan belia memasarkan produk dan perkhidmatan dengan lebih pantas, mudah dengan harga berpatutan sekali gus memperluaskan lagi prospek pemasaran masing-masing.

"Geran permulaan perniagaan RM2,000 ini tidak mencukupi. Bagaimanapun, kementerian turut membantu usahawan belia dengan memberikan latihan dan kemahiran (berkaitan pemasaran perniagaan secara atas talian).

"Usaha (memberi latihan dan kemahiran) ini akan dapat kita teruskan dengan kerjasama Shopee menerusi Shopee University dalam membantu melengkapkan usahawan belia di negeri ini dengan pengetahuan sebagai persediaan memasarkan produk secara atas talian," katanya kepada pemberita selepas pelancaran S-Mart, platform kedai atas talian Shopee khusus bagi Sabah di sini hari ini.

Majlis Pelancaran itu turut disaksikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah Kenny Chua, Ketua Pengurusan Jualan Shopee Malaysia Zed Li dan Ketua Kumpulan Perancangan Korporat dan Transformasi Pos Malaysia Berhad Azahar Ariff.

S-Mart menawarkan akses setempat kepada pelbagai barangan runcit dan barangan keperluan rumah daripada pelbagai jenama terkemuka, selain rakyat Sabah juga akan menikmati kemudahan penghantaran lebih cepat kerana produk akan dihantar terus dari gudang Shopee di Kota Kinabalu.

Disamping itu, S-Mart Sabah memenuhi keperluan bagi barangan yang memberi lebih nilai dengan menawarkan produk berkualiti pada harga kompetitif, dengan penjimatan hingga 10 peratus setiap hari dan hingga 40 peratus pada kempen khas.

Terdahulu, Li berkata, Shopee akan bekerjasama dengan jenama dan peruncit terkemuka serta rakan logistik pihak ketiganya iaitu Pos Laju dalam usaha memenuhi keperluan dan kehendak rakyat Sabah.

-- BERNAMA