Rakan artis luah rasa sedih pemergian Abam Bocey

Last update: 10/02/2020

KUALA LUMPUR, 10 Feb -- Pemergian pelawak terkenal Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 32, pada pagi Isnin mengejutkan ramai pihak, terutama di kalangan rakan artis.

Pada 11 Jan lalu, Abam bersama kumpulannya, Bocey, yang turut dianggotai pelawak Fad dan Achey, baru sahaja memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019. 

Fad Bocey yang kini berada di luar negara meluahkan rasa sedih dan terkilan kerana tidak sempat menemui Abam.

“Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, Allahhuakhbar, innalillahiwainnailaihirojiun..kenapa kau pergi dulu bam? Kenapa tak tunggu aku, aku jauh ni, aku nak peluk cium kau. 

“Bismillahhirahmanirahim, Assalamualaikum. Saya mohon doakan kekanda saya Syed Umar Mokhtar atau Abam telah pulang ke Rahmatullah..Allahuakhbar,” katanya menerusi kiriman di laman Instagramnya @fadbocey pagi ini. 

Achey pula menerusi akaun instagramnya @acheykintangkintung pula mengirimkan video yang kelihatan beliau menangis ketika menyampaikan berita pemergian sahabatnya itu. 

“guys…Abam dah tiada..”

“Kenapa awal sangat Bam!!!..mana janji kau..!! Ya Allah..guys abam dah tiada guys,” kirimnya. 

Dalam pada itu, Datuk AC Mizal yang juga pengacara dalam program MLM 2019 dalam akaun instagramnya turut meluahkan perasaan terkejut mengenai berita kematian Abam. 

“Ya Allah pagi ini aku dikejutkan dengan berita adik aku @abam_bocik telah meninggal dunia, tergamam aku dan tak boleh berkata-kata aku, semoga kau tenang di sana adikku. Allahuakbar. Alfatihah, semoga roh abam dicucuri rahmat. Salam takziah daripada kami sekeluarga @abam_bocik @aliputeh,” katanya.

Rakan artis yang lain turut meluahkan rasa sedih dah terkejut dengan pemergian pelawak terkenal itu.

@aeril_zafrel berkongsi kesedihan menerusi ruang komen “Ya Allah…semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman..amin,”

Pemergian Allahyarham disedari isterinya Siti Norhidayah Mohd Ali semasa mahu mengejutkan suaminya itu bagi menunaikan solat Subuh.

Abam dan isterinya berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey yang kini berusia lima bulan.

-- BERNAMA