'Pakej Percutian Terbaik Labuan 2020' promosi Labuan sempena VM2020

Last update: 09/02/2020

LABUAN, 9 Feb  -- 'Pakej Percutian Terbaik Labuan 2020' dilancarkan di Labuan, bagi mempromosi pelbagai tempat menarik di pulau bebas cukai itni yang juga dikenali sebagai hab kewangan Malaysia.

Pakej pelancongan yang julung kali diadakan itu dilancarkan pada Sabtu oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Sekurang-kurangnya 50 pakej dengan pelbagai aktiviti, telah disenarai dan disediakan oleh 15 ejen pelancongan dan pengusaha produk di Labuan untuk menarik pelancong bercuti di Labuan.

Pakej itu termasuk yang ditawarkan oleh pengendali hotel dan resort, pakej percutian pulau dengan aktiviti snorkeling, sukan laut dan rekreasi serta percutian di inap desa Labuan di Kg Buki Kuda, perkampungan atas air, Kg Patau-Patau II dan Sg Labu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata aktiviti memancing laut dalam yang dinamakan ‘Jelajah Hari Memancing Labuan’ di Vernon Bank yang belum diteroka sepenuhnya dan Semarang terus menjadi tarikan pemancing dan pelancong yang mempunyai hobi memancing.

"Kami masih menaruh harapan terhadap tarikan kapal yang karam semasa Perang Dunia Kedua untuk penyelam profesional dan amatur kerana tapak menyelam masih dianggap sebagai tempat perlindungan kepada pelbagai jenis ikan dan hidupan laut yang jarang ditemui, yang masih boleh dilihat dan dijumpai di sana," katanya.

Fary Akmal berkata Kelab Golf Antarabangsa Labuan (LIGC), padang golf 18-lubang yang telah digunakan sebagai tempat latihan bagi pemain golf profesional Korea juga merupakan produk pelancongan dalam pakej itu.

"Melalui kerjasama erat dengan pengusaha hotel yang menawarkan kadar harga yang menarik dan berpatutan, kami optimis dapat memenuhi permintaan pengguna domestik dan antarabangsa," katanya.

Selain penerbitan risalah 'Pakej Percutian Terbaik Labuan 2020’, Perbadanan Labuan telah mengedarkan Kalendar Acara Pelancongan Labuan 2020 sejak Disember tahun lepas kepada semua pemain industri, sektor korporat dan swasta, pelancong serta orang ramai.

Lebih 100 acara yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan, persatuan sukan, penganjur acara dan penduduk kampung mengisi kalendar itu yang boleh diakses melalui laman web rasmi Perbadanan Labuan di (www.pl.gov.my) dan www.labuantourism.my.

"Bagi pihak Perbadanan Labuan, saya merasakan usaha untuk membangunkan industri pelancongan di Labuan hanya boleh berjaya dengan kerjasama daripada pelbagai pihak berkaitan yang akan membantu menjadikan Labuan sebuah destinasi pelancongan yang popular," kata Fary Akmal.

-- BERNAMA