UiTM lancar Pelan Strategik 2025

Last update: 06/02/2020

SHAH ALAM, 6 Feb -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini melancarkan Pelan Strategik 2025 sebagai usaha melahirkan lebih ramai siswazah berkualiti dan berciri keusahawanan selaras dengan hasrat kerajaan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).

Pelancaran Pelan Strategik UiTM 2025 itu disempurnakan oleh pengerusi lembaga pengarah universiti berkenaan, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu majlis di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim.

Pelan lima tahun yang bertujuan menjadikan UiTM sebagai antara universiti terkemuka di dunia itu menggariskan tiga tunggak utama iaitu pendidikan berkualiti, kecemerlangan global dan prestasi berasaskan nilai.

Syed Zainal Abidin berkata sebagai sebuah universiti terbesar di negara ini, pelancaran pelan berkenaan dilihat mendokong hasrat kerajaan untuk melahirkan siswazah berkualiti tinggi yang memenuhi kehendak pasaran kerja industri pada masa depan.

“Pelan ini berlandaskan kepada apa yang kerajaan mahu kita hasilkan dan kita lihat, ia sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dan RMK11.

“Kita juga mahu pastikan siswazah UiTM yang kita hasilkan nanti bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mampu menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Pada masa sama, katanya, bagi merealisasikan pelan strategik berkenaan, UiTM juga akan menambah baik kualiti teknologi yang diguna pakai masa kini supaya siswazah universiti itu kelak dapat memenuhi kehendak Revolusi Industri 4.0.

Selain itu, kata Syed Zainal Abidin, menerusi pelan itu juga, UiTM akan bekerjasama rapat dengan pelbagai universiti bertaraf dunia dan syarikat multinasional bagi memberi gambaran dan pendedahan yang lebih luas dalam bidang akademik dan kehendak pasaran kerja kepada bakal graduannya.

UiTM yang ditubuhkan lebih 64 tahun lepas telah melahirkan lebih 800,000 siswazah dalam pelbagai bidang dan kini mempunyai lebih 180,000 pelajar di 35 kampus universiti itu di seluruh negara.

-- BERNAMA