Pingat emas untuk Nasi Lemak Bunga Telang

Last update: 06/02/2020

KUALA LUMPUR, 6 Feb -- “Alhamdullillah, emas buat Nasi Lemak Bunga Telang.”

Itu yang dizahirkan chef tanah air, Siti Safura Mohd Tawil menerusi perkongsian gambar Instagramnya, selepas berjaya meraih johan dalam pertandingan kelas masakan Asia-India di Pertandingan Kulinari Chef Ireland 2020 semalam. 

Siti Safura telah mengharumkan nama negara di pentas dunia dan tidak lupa asal usulnya apabila membawa bersama Jalur Gemilang untuk menerima pingat emasnya saat nama beliau diumumkan sebagai pemenang. 

Dalam pertandingan masakan di Dublin, Ireland anjuran barisan panel chef dari Ireland itu, Siti Safura mempertaruhkan salah satu juadah yang unik dan begitu dekat di hati rakyat Malaysia iaitu Nasi Lemak Bunga Telang. 

Menerusi perkongsian itu, beliau turut memberi penghargaan kepada pihak yang memberikan sokongan kepadanya sepanjang pertandingan itu. 

“Terima kasih Duta Besar Malaysia Zakaria Nasir dan isteri Puan Junainah untuk sokongan yang tidak terhingga. Juga terima kasih kepada Chef Boy, Chef Fauzan, Dr Esa dan Tuan Razman untuk nasihat dan pandangan. Sangat menghargainya!” tambahnya dalam perkongsian gambar tersebut.  

Nasi Lemak Bunga Telang, hidangan nasi lemak berwarna biru dilengkapi, rendang ayam, kerabu dan disertakan dengan keropok lekor rangup.

-- BERNAMA