
49 pelajar terpilih lanjut pengajian di Jepun
Last update: 06/02/2020KUALA LUMPUR, 6 Feb -- Program Rancangan Persediaan Khas ke Jepun (RPKJ) yang dilaksanakan di Universiti Malaya (UM) sejak 38 tahun lepas berjaya melahirkan kira-kira 8,000 modal insan yang terlatih dengan nilai-nilai etika dan budaya kerja cemerlang.
Pro Canselor UM, Toh Puan Dr Aishah Ong, berkata, nilai yang diperoleh di bawah Dasar Pandang ke Timur itu kemudian diadaptasi semasa berkhidmat di sektor perindustrian dan dunia akademia ini sekali gus membawa impak tinggi dalam mencapai objektif dasar itu.
“Amalan itu juga dapat meningkatkan pengurusan dan pembangunan sektor awam dan swasta di negara ini serta mewujudkan golongan individu atau tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus RPKJ Sesi 2019/2020 kepada 49 pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda di Jepun di UM, di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua pelajar yang terpilih agar berusaha gigih untuk menamatkan pengajian dalam tempoh penajaan yang ditetapkan dan kembali berkhidmat untuk negara.
Kumpulan pelajar tersebut akan berlepas ke Jepun pada akhir bulan depan.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed; Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Araki Kaname dan Pengarah Pusat Asasi Sains UM (PASUM), Prof Datuk Dr Mohd Jamil Maah.
Sementara itu, Kaname berkata Dasar Pandang Ke Timur menjadi lambang yang tidak ternilai bagi kerjasama yang semakin berkembang antara Jepun dan Malaysia.
Beliau berkata kerjasama itu bukan sahaja berterusan selama 38 tahun tetapi ia juga telah diperkukuhkan semula dan diperluas di bawah pentadbiran baru sejak Tun Dr Mahathir Mohamed kembali sebagai perdana menteri pada Mei 2018.
“ Kami sangat berterima kepada JPA yang sentiasa menjadi penggerak dalam melaksanakan dasar ini serta PASUM yang memainkan peranan penting sebagai institusi sokongan untuk masa yang lama,” katanya.
“ Kepada pelajar, senior anda telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ikatan persahabatan antara kedua negara dan mendedikasikan diri mereka untuk pembangunan Malaysia...kini giliran anda untuk berjaya dalam mewujudkan bad baharu dalam hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia.” katanya.
Pelajar Terbaik program itu bagi sesi 2019/2020, Maira Izammel Zainoren, 20, berkata, beliau mahu mengikut jejak dua abangnya yang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di negara itu.
-- BERNAMA
Tweet

