KV Sabah cemerlang pertandingan inovasi di Thailand

Last update: 06/02/2020

KOTA KINABALU, 6 Feb -- Pasukan Kontinjen Kolej Vokasional (KV) Sabah memenangi dua pingat emas pada pertandingan Inovasi Ekspo Teknologi, Reka Cipta dan Harta Intelek (IPITEX) di Bangkok, Thailand berakhir hari ini.

KV Sabah terdiri daripada KV Keningau, KV Likas dan KV Tawau turut meraih tiga pingat perak, tiga pingat gangsa dan satu anugerah khas.

Penyelaras pasukan Dr Sirhajwan Idek berkata kontinjen itu terdiri daripada sebelas ahli termasuk tujuh pelajar mempertandingkan enam projek inovasi dalam pertandingan tersebut yang bermula sejak 2 Feb lepas.

Beliau yang juga Ketua Kajian dan Inovasi KV Keningau berkata KV Keningau memenangi satu pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa selepas mempertandingkan empat inovasi iaitu jek troli, pencabut roda dan pelapik boleh ubah yang memudahkan penyelenggaraan kenderaan serta alat pembantu pengisian petrol.

“KV Tawau memenangi satu pingat emas, satu pingat perak serta satu anugerah khas menerusi inovasi alat pengesan lampu brek kenderaan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Sirhajwan berkata Likas pula memenangi dua pingat perak dengan inovasi kunci suis utama yang mampu menutup dan menghidupkan punca bekalan elektrik secara automatik.

Pasukan KV Likas terdiri daripada dua pensyarah; Sulaiman Ibrahim dan Idham Shukri Ishak serta dua pelajar; Elpray Jamson dan M. Khairie Akram.

KV Keningau diwakili seorang pensyarah Amirullah Abdul Karim serta empat pelajar; Herichller Wong, Syahmi Zunurrayn, Vielsone Dell dan Brandon Athansius manakala KV Tawau terdiri daripada pensyarah Suherman Andi Tunru dan seorang pelajar M. Firdaus Abdul Jalil.

-- BERNAMA