Agong sekali lagi periksa mangsa kemalangan

Last update: 29/01/2020

KUALA LUMPUR, 29 Jan  -- Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap rakyat tanpa mengira waktu dan tempat sememangnya tidak boleh dinafikan.

Terbaharu, Seri Paduka sekali lagi mencemar duli turun daripada kenderaan rasmi baginda untuk memeriksa keadaan mangsa kemalangan berhampiran plaza tol Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di sini, pagi ini.

Berdasarkan perkongsian menerusi hantaran di Instagram Istana Negara, baginda ketika itu sedang dalam perjalanan bagi menghadiri majlis menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi Mesyuarat Pra-Kabinet di Putrajaya.

Selepas melakukan pemeriksaan dan bertanya khabar pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu, Seri Paduka meneruskan perjalanan ke Istana Melawati, Putrajaya bagi menghadiri majlis tersebut.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah dilaporkan pernah dua kali mencemar duli turun daripada kenderaan rasmi baginda bagi memeriksa keadaan serta bertanya khabar pemandu yang terlibat dalam kemalangan pada hari yang sama di sekitar Putrajaya, tahun lepas.

-- BERNAMA