Emma Maembong mahu lebih watak antagonis

Last update: 13/01/2020

PETALING JAYA, 13 Jan (Bernama) -- Pelakon Emma Maembong berharap tahun ini beliau dapat diberi peluang berlakon watak yang lebih mencabar.

Emma, atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 28, berkata pengalaman pertamanya membawa watak wanita psiko dalam drama Cemburu Seorang Perempuan tahun lalu, membuatkan dirinya ingin mencuba membawa watak sebegitu dengan lebih banyak tahun ini.

“Emma impikan watak yang lebih mencabar karakter seperti watak jahat, psiko tapi benda itu tidak pernah diberi peluang sejak tujuh tahun lepas,” katanya.

Emma berkata demikian kepada Bernama selepas majlis pelancaran memperkenalkan beliau sebagai duta baharu Yobick iaitu minuman yogurt keluaran syarikat Jepun Dydo Drinco Inc (Dydo).

Emma yang baru pulih daripada penyakit jangkitan kuman dalam darah berkata sepanjang karier lakonannya beliau sering diberi watak baik atau protagonis.

“Kalau boleh untuk 2020 saya mahu diberi peluang untuk bawa watak yang lebih mencabar seperti melakukan aksi, berlawan , watak gila dan juga sebagai hantu,” katanya.

-- BERNAMA