Pameran tanjak terbesar di Istana Budaya

Last update: 12/01/2020

Oleh Jeiilnyly Masal

KUALA LUMPUR, 12 Jan  -- Replika tanjak Pahang ‘Lang Menyongsong Angin’ hiasan kepala yang digunakan Sultan Pahang untuk istiadat Diraja negeri itu kini dipamerkan di Istana Budaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Pameran ‘Tanjak Terbesar’ yang diadakan hingga Mac ini bertujuan mengangkat kembali warisan kegemilangan Melayu ke tempat yang sewajarnya.

Tanjak yang berketinggian 3.66 meter itu dihasilkan seramai 15 ahli Persatuan Bentan Malaysia dan Istana Budaya dengan memakan masa lebih 3 jam dengan menggunakan kain broked petang semalam.

Selain tanjak Pahang, turut dipamerkan tanjak Destar Sunda Menggamit, Tengkolok Belalai Gajah, Destar Datuk Bija Diraja dan Setanjak Balung Raja.

Presiden Persatuan Bentan Malaysia Datuk Nazri Kamal Al-Bentan berkata pemilihan tanjak tersebut bersesuaian  dengan Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berasal dari Pahang.

“(Selain itu) Al-Sultan Abdullah juga turut memakai tanjak ini dalam acara rasmi dan istiadat Diraja di negeri Pahang,” katanya kepada Bernama di sini.

Nazri Kamal berkata dengan adanya pameran mengenai tanjak yang sering dikaitkan dengan istana dan kepahlawanan serta dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat masyarakat Melayu, ia dapat mendedahkan kepada generasi muda adat memakai tanjak.

“Pemakaian tanjak ini perlu dipakai bersesuaian dengan istiadat dan tempat yang sesuai iaitu dengan  berpakaian penuh berbaju Melayu, bersampin dan bercapal atau berkasut,” katanya.

Nazri Kamal yang berpakaian lengkap berbaju Melayu serta bertanjak turut menyatakan pemakaian tanjak oleh generasi muda secara berpakaian kasual dengan berkemeja-T dan berseluar jeans adalah tanjak kreasi.

“(Tetapi bagi) tanjak Warisan tidak sesuai dipakai dengan pakaian biasa atau kasual,” katanya.

Menyentuh mengenai tanjak yang terbesar itu, Nazri Kamal berkata selepas pameran itu, kain tanjak akan dipotong menjadi helaian kain untuk dijadikan tanjak biasa dan akan  diberikan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim sebagai cenderahati bagi memperkasakan budaya, adat dan warisan Melayu.

“Kalau mereka hendak membeli di luar, harga tanjak itu bermula dari RM80 satu dan boleh mencecah hingga  ribuan ringgit,  bergantung kepada jenis kain yang digunakan,” katanya.

-- BERNAMA