Barang kemas aset pelaburan wanita

Last update: 11/01/2020

KUALA LUMPUR, 11 Jan -- Barang kemas bukan hanya berfungsi sebagai penambah seri kepada pemakainya namun ia juga merupakan aset berguna untuk para wanita.

Menurut Toh Puan Noor Suzana Abdullah, setiap wanita harus memiliki barang kemas sebagai pelaburan pada masa akan datang.

“Selain daripada emas, berlian (loose diamond) dalam bentuk karat juga antara pelaburan yang baik kerana harga akan semakin meningkat,” katanya yang ditemui selepas merasmikan International Jewellery Fair, Spring Edition (MIJF SE) 2020 Jumaat.

Noor Suzana turut menyatakan pameran seperti ini seharusnya dijadikan sebagai tempat mendapatkan maklumat dan menambah ilmu pengetahuan mengenai asal usul batu-batu yang dijadikan barang kemas.

“Selain daripada itu, kita juga dapat tahu mengenai harga semasa emas dan koleksi reka bentuk barang kemas yang terkini jadi kita tidak akan ketinggalan,” tambah beliau.

Antara tips yang beliau kongsikan untuk memilih barang kemas adalah memilih mengikut harga yang mampu dibayar dan tidak hanya melabur dalam sebuah kedai sahaja.

Pameran anjuran Elite Expo Sdn Bhd (Elite Expo) ini berlangsung selama empat hari bermula pada 10 Januari di Dewan 4, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo, Datuk Johnson Lim sebanyak 100,000 koleksi barangan kemas yang paling mewah dan terbaik daripada lebih 100 jenama barangan kemas dipamerkan.

Pameran juga disertai oleh lebih dari 14 buah negara seperti Malaysia, Jepun, UAE, Hong Kong, Singapura, Kemboja, China, Thailand, Turki, Filipina, Itali, India, Myanmar dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA