Starbucks buka kedai Starbucks Reserve pertama di Pulau Pinang

Last update: 11/01/2020

 

GEORGE TOWN, 11 Jan -- Starbucks Malaysia membuka kedai Starbucks Reserve yang pertama di Pulau Pinang - cawangan ke-12 di Malaysia - di tengah-tengah hab komersial yang sibuk di Gurney Plaza.

Pengarah Urusan Starbucks Malaysia dan Brunei, Sydney Quays berkata Starbucks kini memberi tumpuan kepada cawangan Starbucks Reserve berikutan minat dengan pengetahuan mengenai kopi yang meningkat dalam kalangan orang ramai. 

"Kami faham sekarang terdapat ramai yang mempunyai pengetahuan yang baik tentang kopi. Mereka mempelajarinya dan mempunyai pengalaman. Oleh itu, kami juga perlu meningkatkan pengetahuan, supaya orang ramai juga boleh belajar dan mengalaminya.

"Mewujudkan kedai yang unik juga menjadi kegemaran kami. Ia akan menarik pelancong untuk datang dan mengalaminya sendiri, dan ini akan membantu meningkatkan industri pelancongan dalam negeri dan negara," katanya pada sidang media selepas pembukaan cawangan itu di sini Jumaat.

Beliau berkata cawangan Starbucks Reserve adalah eksklusif, menekankan pendidikan mengenai kopi, selain menjadi satu-satunya tempat untuk pelanggan mendapatkan kopi eksotik yang diimport seperti 'Estate New Guinea Kigabah', 'Nicaragua Dipilto' dan 'Rwanda Abakundawa'.

"Semua kopi adalah dari ladang oleh Starbucks. Ladang-ladang ini hanya boleh menyokong Starbucks, dan kami tidak boleh mempunyai banyak (cawangan) Starbucks Reserve kerana kami tidak mempunyai kopi yang cukup. Semua kopi ini juga boleh didapati hanya semasa stok masih ada," katanya.

Quays berkata cawangan itu telah ditukarkan daripada kedai Starbucks yang sedia ada kerana lokasinya yang strategik, suasana yang hebat dan persekitaran kondusif yang disediakan oleh pengurusan Gurney Plaza.

"Saya berharap untuk mendapat lokasi yang berbeza. Saya amat menyukai Armenian Street, diharapkan suatu hari nanti kami akan berada di sana dengan konsep yang berbeza sesuai dengan sejarah jalan itu," katanya.

Cawangan baharu itu menampilkan dua bar dengan barista diperakui Coffee Masters, menghasilkan minuman dengan teknik bru seperti Siphon, Chemex, Pour-over (tuang dari atas) dan mesin manual espresso Black Eagle dan Nitro Cold Brew (bru sejuk Nitro) untuk mengeluarkan rasa kopi.

-- BERNAMA