Siswazah digesa rebut peluang ceburi industri kreatif

Last update: 10/12/2019

MACHANG, 10 Dis -- Siswazah perlu  merebut peluang dalam industri kreatif yang mempunyai prospek tersendiri dan tidak banyak terjejas dengan perubahan teknologi malah menjanjikan pendapatan lumayan, kata Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU Datuk Norman Abdul Halim.

Beliau berkata industri kreatif mencakupi pelbagai bidang dalam kerangka yang lebih luas termasuk penciptaan harta intelek sekaligus dapat mewujudkan pelbagai peluang perniagaan baharu.

Katanya siswazah tidak seharusnya bergantung kepada kerajaan mahupun pihak swasta dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka selepas tamat belajar namun perlu berusaha untuk mencipta peluang pekerjaan sendiri.

“Kita sendiri yang harus mencari peluang mencipta pekerjaan menerusi pelbagai dana yang disediakan oleh kerajaan,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucaptama pada Program Ceo @Faculty Programme 2019 yang turut dihadiri lebih 500 pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Machang di sini, hari ini.

Menurutnya, Yayasan KRU telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bagi membolehkan siswazah membuat pinjaman sehingga RM50,000 sebagai modal asas memulakan perniagaan.

“Menerusi pinjaman itu, graduan boleh mencipta peluang perniagaan sendiri seperti bagaimana mahu menghasilkan produk untuk diedarkan di kompleks-kompleks perniagaan digital.

“Menerusi kaedah ini, graduan tidak perlu membuka premis perniagaan sendiri kerana ia memerlukan modal yang besar,” katanya.

Norman berkata  Yayasan KRU juga menyediakan biasiswa  kepada pelajar dalam kalangan B40 untuk melanjutkan pengajian bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang tertentu dengan kerjasama UiTM.

-- BERNAMA