Skim MyHome masih belum capai objektif

Last update: 02/12/2019

KUALA LUMPUR, 2 Dis -- Objektif pelaksanaan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) masih belum tercapai sepenuhnya meskipun daripada segi pengurusan projek, ia telah diurus dengan cekap, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2.

Bagaimanapun, dari aspek pemantauan, laporan itu menyatakan MyHome didapati diurus dengan kurang cekap yang mengakibatkan kelewatan penyiapan projek, bayaran insentif kepada pemaju yang meragukan dan insentif kepada pembeli yang masih tidak dipulangkan oleh pemaju.

Ia merupakan antara penemuan audit yang dijalankan antara Mac hingga Julai 2019.

Penemuan lain adalah sasaran tahunan tidak ditetapkan untuk mencapai sasaran 10,000 rumah MyHome menjelang tahun 2020 dan setakat 31 Dis 2018, sebanyak 2,458 rumah (34.3 peratus) telah siap dibina, manakala 4,715 rumah (65.7 peratus) masih dalam pembinaan.

Pada masa sama, pemulangan insentif berjumlah RM2.35 juta belum dibuat oleh pemaju walaupun arahan tuntutan telah dikeluarkan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN).

"Pada pendapat Audit, pemantauan yang dilaksanakan adalah kurang berkesan kerana tiada mesyuarat secara berjadual bagi membincangkan masalah projek di peringkat JPN," menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Justeru, laporan itu mengesyorkan beberapa langkah yang perlu diambil JPN bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan tidak berulang pada masa hadapan dan objektif program dapat dicapai.

Antaranya, JPN perlu menilai semula kriteria atau syarat mahupun insentif pemilihan pemaju bagi meningkatkan penyertaan pemaju di seluruh negara dalam pelaksanaan Skim MyHome kerana pelaksanaan semasa masih belum dapat membantu golongan sasaran secara optimum di seluruh negara untuk membeli rumah di bawah skim tersebut.

Selain itu, JPN dan pemaju perlu bekerjasama melaksanakan promosi secara berkesan dan berterusan bagi rumah yang belum dijual.

JPN juga disyorkan untuk membuat laporan polis terhadap pemaju projek Taman Khazanah Indah (Projek Khas) yang memalsukan dokumen Perjanjian Jual Beli bertujuan mendapatkan bayaran insentif daripada kerajaan.

Di samping itu, JPN perlu mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang berkaitan, supaya insentif berjumlah RM2.35 juta dapat dikutip semula daripada pemaju projek Taman Khazanah Indah (Projek Khas) selain jabatan itu perlu mengadakan mesyuarat pemantauan secara berjadual bagi membolehkan prestasi projek di bawah Skim MyHome dipantau dan isu berkaitan pelaksanaan projek dibincangkan.

Skim MyHome telah diumumkan pada Okt 2013 melalui Akta Perbekalan 2014 dengan sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan di bawah skim tersebut bagi tempoh tahun 2014 hingga 2020 (Rancangan Malaysia Ke-10 dan 11) bertujuan menggalakkan pemaju sektor swasta membina lebih banyak rumah mampu milik dan memberi insentif kepada pembeli yang layak membeli rumah pertama.

-- BERNAMA