Keunikan warisan tradisi 'Miyolon Ensambiyan' didokumentasikan

Last update: 29/11/2019

KOTA KINABALU, 29 Nov  -- Keunikan warisan tradisi ‘Miyolon Ensambiyan’, aktiviti tukar barang ketika musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha dalam kalangan masyarakat majmuk di Kampung Darau, Manggatal, didokumentasikan dalam sebuah buku setebal 56 muka surat.

Buku digarap indah oleh empat penyelidik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) iaitu Yuzainy Janin, Jakaria Dasan, Sidah Idris dan Kamarul Mizal Marzuki itu diterbitkan oleh Jabatan Muzium Negeri Sabah dengan kerjasama UMS.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew berkata aktiviti tukar barang Miyolon Ensambiyan masih lagi wujud dan diamalkan sehingga kini oleh masyarakat pelbagai kaum di Kampung Darau khususnya dalam kalangan etnik Bajau Sama dan Kadazan Dusun terutama pada hari kedua Aidilfitri.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata warisan tradisi Miyolon Ensambiyan itu adalah lambang kesepakatan unik yang menjadi satu daripada intipati kepada keharmonian pelbagai etnik dan kaum di negeri ini yang sekali gus membolehkan Sabah terus maju ke hadapan.

"Ini (Miyolon Ensambiyan) adalah satu keunikan yang wajar diberi sokongan oleh pelbagai pihak termasuk kementerian dan agensi kerajaan berkaitan pelancongan kerana pelancong melawat sesebuah negara tidak hanya ingin menikmati keindahan flora dan fauna tetapi juga menyaksikan sendiri keistimewaan warisan tradisi masyarakat.

"Untuk itu, kita perlu memastikan produk pelancongan yang ada (di Sabah) termasuk warisan tradisi seperti Miyolon Ensambiyan ini diurus dengan baik dan rapi," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran buku bertajuk 'Barter Trade: Tradisi Miyolon Ensambiyan Aidilfitri Kampung Darau, Manggatal' di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menterinya Assaffal P. Alian.

Buku itu boleh didapati di Muzium Sabah pada harga RM50 antara lain memaparkan kisah masyarakat Kadanzan Dusun yang membawa hasil pertanian dari sekitar Manggatal, Inanam dan Kota Kinabalu ke Kampung Darau ketika hari raya untuk ditukarkan dengan pelbagai juadah tradisi suku Bajau Sama di kampung tersebut.

-- BERNAMA