Teknologi asas penting bagi pembinaan negara pintar- TPM

Last update: 27/11/2019

SHAH ALAM, 27 Nov -- Penggunaan teknologi adalah perkara asas paling penting kepada pembinaan bandar pintar dengan dilengkapi infrastruktur yang mampan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata inisiatif bandar pintar hanya mampu dijayakan apabila adanya penerimaan rakyat dan kerangka perundangan yang bersesuaian merentasi lapisan hierarki kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Terdapat beberapa inisiatif utama bandar pintar yang saya kira harus diimplementasikan sesegera mungkin di peringkat kerajaan tempatan.

" Antaranya inisiatif bandar selamat di mana persekitaran awam dan jalan raya boleh dijadikan tempat lebih selamat dengan penggunaan teknologi serta keperluan mengurangkan kesesakan lalulintas," katanya ketika berucap merasmikan 'Smart Technology For Smart City Summit 2019' di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata insiden gangguan sistem operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ogos lepas, turut membuktikan betapa pentingnya penggunaan teknologi pintar kepada negara.

"Teknologi pintar bukan untuk tujuan pemantuan semata-mata, malah untuk tujuan pengumpulan data bagi memahami punca permasalahan dan kaedah penyelesaian lebih baik.

"Terdapat juga keperluan untuk memperkasakan aspek keselamatan data dan sistem menerusi pembangunan dalam bidang ‘Cybersecurity’, ‘Encryption Technology’ dan ‘Secure Cloud Computing," tambahnya.

-- BERNAMA