800 murid terima bantuan BTS di Kelantan

Last update: 07/11/2019

KOTA BHARU, 7 Nov -- Seramai 800 murid dari 20 sekolah rendah di Kelantan menerima kelengkapan sekolah bagi sesi akademik tahun 2020 pada program Back to School 2019 (BTS 2019) Yayasan Petronas hari ini.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata BTS 2019 merupakan yang terbesar semenjak ia bermula 17 tahun lalu dengan 21,000 murid dari sekolah-sekolah di 15 negeri seluruh negara menerimanya.

"Sumbangan ini merupakan usaha berterusan syarikat yang bertujuan meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan di samping membantu mengatasi kadar keciciran pelajar di seluruh negara.

"Mereka akan menerima kelengkapan persekolahan seperti beg galas, alat tulis berserta dua pasang pakaian seragam sekolah," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program BTS 2019 di dewan Majlis Daerah Pasir Mas di sini, hari ini.

Di Kelantan, pelajar yang terpilih dari Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas yang menerima bantuan itu.

Wan Mohamad Hasnan berkata BTS 2019 akan berlangsung dari Oktober ke November ini sebagai persediaan untuk sesi persekolahan tahun baharu.

"Mereka (murid) yang terpilih adalah daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan program ini merupakan sebahagian daripada tumpuan Yayasan Petronas kepada aspek kesejahteraan komuniti dan pembangunan dengan menyediakan keperluan sara hidup dan membina keyakinan diri," katanya.

Sementara itu, seorang ibu penerima Nurul Hidayah Zulkifli, 27, meluahkan terima kasih dengan bantuan yang diberi kerana sememangnya memberi manfaat besar kepada golongan B40 sepertinya.

 "Saya perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM500 untuk pembelian kelengkapan sekolah dua anak. Bagi mereka yang berpendapatan sederhana seperti saya, kos itu agak besar apatah lagi bagi mereka yang mempunyai bilangan anak yang lebih ramai," katanya.

-- BERNAMA