AWG jadi alternatif untuk air minum semasa bantuan bencana

Last update: 09/10/2019

Laporan eksklusif oleh Anas Abu Hassan & Muhammad Zaini Mohd Zin

KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Bantuan bencana kemanusiaan kini boleh dilakukan lebih mudah melalui penggunaan Atmospheric Water Generator (AWG) yang menghasilkan air minum dari udara di persekitaran.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Rivil Sdn Bhd, Muizz Zainuddin berkata AWG menggunapakai teknologi dari Sepanyol yang menggunakan proses kondensasi untuk menukafrkan kelembapan di udara menjadi wap air.

"Ia mereplikasi dan meniru proses pembentukan awan dan hujan. Proses kondensasi menukarkan udara membentuk air, kemudian memasuki proses penapisan, mineralisasi dan terdedah kepada cahaya UV untuk membunuh semua bakteria sebelum siap untuk diminum.

"Secara teknikal, ia adalah mesin yang menggunakan kitaran termodinamik dengan teknologi penyejukan mekanikal dilengkapi kawalan elektronik canggihn," katanya kepada Bernama di luar Persidangan dan Pameran Produk Eko Greentech Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Beliau berkata air yang dihasilkan oleh AWG sesuai untuk kegunaan manusia dan keperluan lain seperti penyediaan makanan, pengairan atau bekalan air kepada haiwan dan ladang.

"Air yang dihasilkan juga mematuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk air minum dan disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan Eropah," katanya.

Menurut Muizz, Rivilmenjadi merintis bagi penggunaan AWG di Malaysia untuk membantu menyediakan alternatif mampan untuk penggunaan air terutama semasa krisis kekurangan air.

"Mesin AWG boleh menghasilkan air minum dari 50 liter dan sehingga 5,000 liter sehari, jadi ia sesuai digunakan di kawasan pencemaran air," katanya.

"Kami menerima banyak pertanyaan daripada pelanggan yang berpotensi seperti syarikat minyak dan gas pesisir luar, pemilik kapal, dan hotel di pulau terpencil yang bergantung kepada air botol untuk kegunaan harian," katanya.

-- BERNAMA