Lapan finalis berentap dalam kemuncak Bintang Klasik 2019 Ahad ini

Last update: 08/10/2019

KUALA LUMPUR, 8 Okt -- Lapan finalis bakal berentap dalam pentas Kemuncak Bintang Klasik 2019 di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada pukul 9.00 malam, Ahad ini.

Pentas kemuncak itu bakal menyaksikan keupayaan Siti Erinshahira Jamaludin, 16, Ahmad Marzuki Nor-din, 18, Siti Nur Shazreen Shaharum, 23, Siti Nadia Zaini, 26, Nur Hijrah Yahya, 28, Noorhidayah Halim, 28, Ahmady Mohd Spuan, 29, dan Nabilah Mohammad, 30, mendendangkan dua buah lagu popular era 50-an hingga 90-an sekali gus bersaing merebut gelaran juara.

Penerbit Kemuncak Bintang Klasik 2019 Yusmawati Yunos berkata penganjuran yang memasuki edisi kelapan itu adalah untuk meluaskan pasaran mencari bakat-bakat muda yang boleh menyanyikan lagu-lagu irama Melayu Klasik dan malar segar.

“Tahun ini kita turunkan had umur penyertaan daripada kepada 16-30 tahun sahaja kerana objektif kami adalah untuk mencari bakat lebih muda yang boleh mewarisi lagu-lagu lama,” katanya pada sidang media Kemuncak Bintang Klasik 2019 di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri di sini, hari ini.

Yusmawati berkata edisi kali ini turut menyaksikan kelainan apabila setiap peserta perlu menyanyikan lagu berlainan jantina daripada penyanyi asal selain turut memperkenalkan segmen ‘battle’ di pusingan kedua.

“Setiap peserta perlu menyanyikan dua buah lagu iaitu untuk persembahan solo, lagu pilihan mereka sendiri, manakala di pusingan ‘battle’ mereka perlu menyanyikan lagu yang dipilih oleh pihak produksi,” katanya.

Jelasnya johan pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM30,000 tempat kedua: RM20,000 tempat ketiga: RM10,000 dan RM2,000 saguhati bagi lima orang finalis manakala bagi persembahan terbaik bakal membawa pulang wang tunai RM5,000.

Kemuncak Bintang Klasik 2019 itu menampilkan gandingan pengacara hebat Awal Ashaari dan Amelin Idrus serta turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada artis jemputan seperti Siti Nordiana, Syafiq Farhain, Naim Daniel, Rahimah Rahim, Azharina Azhar dan bekas-bekas juara Bintang Klasik atau Bintang Nasional; antaranya Alif Kadim, Anas Farhan dan Rizal Ahmad.

Orang ramai dijemput hadir menyaksikan secara langsung Kemuncak Bintang Klasik 2019 di Auditorium Perdana dan siaran langsung juga boleh ditonton menerusi saluran TV1 serta boleh diikuti secara atas talian melalui MyKlik dan Radio Klasik.

-- BERNAMA