Malaysia Charity Bazaar promosikan produk menarik Malaysia di Jakarta

Last update: 08/10/2019

Oleh Mohd Shukri Ishak

JAKARTA, 8 Okt -- Buat julung kalinya, "Malaysia Charity Bazaar" akan diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, bagi tujuan amal selain menjadi platform mempromosikan produk- produk Malaysia.

Program anjuran Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) Jakarta itu juga akan menjadi platform untuk mempromosikan makanan, kebudayaan, produk-produk tempatan serta tempat pelancongan menarik di Malaysia, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Ketua Perwakilan Jakarta, Sakhiah Mohd Soom berkata hasil jualan menerusi program itu kelak, akan disalurkan kepada pusat-pusat kebajikan di Indonesia dan Malaysia.

"Malaysia Charity Bazaar akan diadakan di Dewan Serbaguna Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 30 November depan, dan kami juga bercadang menjadikannya sebagai program tahunan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 31 syarikat Malaysia dan Indonesia telah mengesahkan penyertaan mereka, antaranya ADABI, Siti Khadijah, Bangi Kopitiam dan Daily Fresh.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata program itu amat signifikan untuk promosi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020, dalam usaha mencapai sasaran 4 juta pelancong Indonesia ke Malaysia pada tahun depan.

Pengunjung bazaar itu akan dikenakan tiket berharga Rp20,000 dan meeka berpeluang memenangi cabutan bertuah menarik, antaranya hadiah tiket penerbangan dan voucher penginapan hotel.

 

-- BERNAMA