Tun Mahathir Pencetus Semangat Anak Muda

Last update: 16/09/2019

Oleh Murni Nasri

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Menurut penulis Radzi Tajuddin di dalam buku "Apa Habaq Orang Muda", ahli politik adalah insan yang memakai banyak 'topi' sebagai representasi kepada imej diri mereka.

Berkaitan perihal ini, kata Radzi, Tun Mahathir Mohamad "tidak pernah menanggalkan topi  sebagai seorang pejuang bangsa, doktor ekonomi, pemimpin rakyat dan penulis prolifik."

Perkara ini jugalah yang memberikan kuasa kepada pemimpin negara ini untuk membincangkan tentang banyak perkara.

Lifestyle and Youth telah menemubual beberapa orang anak muda bagi mendapatkan pandangan mereka tentang kepimpinan yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir terutamanya selepas dinobatkan sebagai Perdana Menteri yang ketujuh semasa hari bersejarah pada bulan Mei 2018.

MODEL PERANAN

Menurut Siva, 24, seorang graduan kewartawanan penyiaran, beliau menganggap Dr Mahathir sebagai model peranan yang patut diteladani oleh setiap rakyat Malaysia.

"Kerja keras dan dedikasi beliau terhadap kerja dan terhadap aspirasi negara Malaysia yang lebih baik  adalah sesuatu yang menakjubkan dan memberikan inspirasi, walaupun usia beliau sudah mencecah 94 tahun," kata Siva.
 
Anak muda ini  juga yakin yang Dr Mahathir Mohamad mampu menyatukan semula rakyat Malaysia, biarpun masih wujud cabaran dalam mencapai kesempurnaan dalam integrasi kaum di Malaysia, namun jangka masa 62 tahun ini membuktikan rakyat Malaysia boleh hidup secara harmoni dan saling memahami. 

Siva berkata sebagai anak muda, beliau  berpendapat Dr Mahathir seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan menjadi tulang belakang dalam pencapaian Malaysia moden hari ini. 

'AYAH' YANG BERPANDANGAN JAUH

Fatini, 24, bersetuju dengan kenyataan yang Dr Mahathir seperti seorang ayahanda kerana beliau sangat berpandangan jauh.

"Tiada seorang ayah pun mahu perkara yang buruk terjadi kepada anak-anaknya, oleh itu 
pandangan beliau wajar dipertimbang dan ditambah baik untuk kebaikan bersama," katanya.

Namun begitu, menurut Fatini walaupun Dr Mahathir seorang pemimpin yg berwawasan tinggi dan komited untuk membawa kemajuan kepada Malaysia, ada juga perkara yang beliau lakukan tidak relevan.

"Contohnya, cadangan projek kereta nasional Malaysia, bagi saya, masih banyak isu yg lebih penting berkaitan rakyat dan negara boleh difokuskan berbanding cadangan ini," katanya.

Selain itu, menurut Fatini, kenyataan Dr Mahathir tentang pembelajaran subjek sains dan sastera, yang mana beliau mahu lebih penekanan terhadap bidang sains dan mengatakan pelajar sastera akan sukar mencari pekerjaan yang baik tidak harus dibuat.

"Walaupun graduan sains membantu dalam memajukan negara dari segi teknologi tetapi peluang pekerjaan dalam bidang tersebut di Malaysia masih terhad. 

"Jadi pada saya, jika beliau mahu me njadikan sains satu bidang yg diutamakan anak muda Malaysia, seharusnya kajian semula mengenai peluang pekerjaan dalam bidang ini dilakukan agar bakat dan kemampuan graduan sains tidak disia-siakan," tambahnya.

PENGALAMAN, KEBIJAKSANAAN DAN KESTABILAN EMOSI

Bagi Farah, 23, graduan komunikasi massa dari salah sebuah universiti antarabangsa di Malaysia, sebagai anak muda beliau yakin terhadap kepimpinan Tun Mahathir dalam menerajui Malaysia.

 "(Dr Mahathir) memiliki pengalaman politik, kebijaksanaan dan kestabilan emosi yang tiada pada pemimpin muda," kata Farah.

Farah menambah yang Dr Mahathir merupakan seorang pemikir yang kritis dan mempunyai kebolehan melihat akan kejayaan perancangan yang dilakukan.

"Dr Mahathir seumpama 'nenda' rakyat Malaysia dan bagi saya jolokan ‘Atuk’ yg diberikan adalah cerminan kepada usia dan kebijaksanaan beliau," katanya.

Biarpun rata-rata memfokus kepada usia beliau yang sudah hampir seabad, tidak dapat dinafikan karisma Dr Mahathir sebagai seorang pemimpin dan Perdana Menteri Malaysia ketujuh menjadikan beliau antara pemimpin yang diidolakan oleh anak-anak muda.

Semangat dan kebijaksanaan Dr Mahathir dalam mengemudi Malaysia Baru menjadi inspirasi kepada kebangkitan bangsa Malaysia.

Seperti bait-bait dalam lagu 'Ayahanda Malaysia' lantunan Eylia Guntabid:

"Seluruh Jiwa Raga
Kau curahkan segala
Semangatmu demi nusa
Jati diri perkasa


Engkau tunjukkan
Erti Perjuangan
Dan Pengorbanan
Bangsa yang terbilang"


--BERNAMA