PTPTN Johor catat 460,000 pemegang akaun SSPN setakat ini

Last update: 11/09/2019

JOHOR BAHRU, 11 Sept -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) negeri Johor mencatatkan sebanyak 460,000 pemegang akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan deposit terkumpul berjumlah RM377 juta setakat ini.

Pengurus Besar PTPTN negeri Muhammad Faizal Adnan berkata sejak SSPN diperkenalkan pada tahun 2004 sehingga Julai tahun ini, didapati sebanyak 50 peratus daripada pemegang akaun di Johor adalah mereka yang berusia di bawah 12 tahun.

Katanya, tawaran yang menarik, faedah SSPN serta kesedaran orang ramai terutama ibu bapa mengenai tabungan pendidikan anak-anak merupakan antara penyumbang kepada pencapaian itu.

Malahan menurutnya, sasaran PTPTN negeri untuk mencapai 15,000 pemegang akaun pada tahun ini juga berjaya dilepasi.

“Sasaran kita pada tahun ini 15,000 pemegang akaun dengan deposit terkumpul sebanyak RM29 juta.  Tetapi setakat Julai tahun ini sahaja kita berjaya lepasi sasaran dengan 26,000 pemegang akaun dan deposit terkumpul sebanyak RM36 juta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Perbarisan Kemerdekaan SSPN anjuran Persatuan Tadika Negeri Johor, di sini, hari ini.

Muhammad Faizal berkata PTPTN sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengadakan program terutama yang melibatkan ibu bapa bagi mempromosi dan memberi pendedahan mengenai SSPN kepada anak-anak.

“Kita mahu membantu pelajar supaya kurang bergantung kepada PTPTN untuk sambung belajar, sekali gus dengan ambil SSPN ia dapat mengurangkan beban mereka ketika sudah bekerja nanti.

“Malahan ibu bapa boleh mendaftarkan anak mereka seawal usia satu hari dan selepas mereka berusia 29 tahun pun, dia juga masih boleh mengeluarkan simpanannya di dalam SSPN walaupun tidak lagi menyambung pelajaran,” katanya.

Terdahulu, seramai 200 kanak-kanak dari 10 tadika di negeri ini menyertai pertandingan perbarisan dan pemenang berpeluang menerima hadiah dalam bentuk akaun simpanan SSPN berjumlah RM100 seorang.

-- BERNAMA