20 penerjun sertai 'base jump' Menara Alor Setar

Last update: 11/09/2019

ALOR SETAR, 11 Sept  -- Menara Alor Setar International Jump (MASIJ) 2019 menarik 20 penerjun dari dalam dan luar negara untuk menyertai acara tiga hari berlangsung di Menara Alor Setar bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Datuk Rozlan Mohamed berkata acara yang bermula 8.30 pagi hingga 6 petang bagi terjunan siang, dan 8 hingga 10 malam bagi terjunan malam.

“Acara sukan antarabangsa ini menawarkan peluang kepada penerjun-penerjun ‘base’ antarabangsa dan tempatan untuk terjun dari platform tertinggi di Menara Alor Setar, pada ketinggian 105 meter dari paras laut dan akan mendarat di Taman Jubli berdekatan.

“Ia juga memberi peluang kepada masyarakat tempatan mengenali dengan lebih dekat terjunan base ini, di samping memupuk minat kepada aktiviti-aktiviti lasak seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rozlan berkata acara seumpama itu juga akan meletakkan Malaysia pada peta pelancongan antarabangsa sebagai destinasi bagi aktiviti pelancongan sukan ekstrem sekali gus dapat membantu menggalakkan promosi ‘Visit Malaysia 2020’ kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA