Kisah kejayaan usahawan muda lebih daripada sekadar 'selamat menjamu selera'

Last update: 12/08/2019

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Dari luar, ‘Rumah Kacha by The Kapits’ yang terletak di Hin Bus Depot, di Jalan Gurdwara, George Town, Pulau Pinang kelihatan seperti sebuah rumah kaca, tetapi bahagian dalamnya merupakan restoran yang dihias kemas penuh berseni, memenuhi citarasa para pengunjung.

Namanya yang agak unik, hiasan dalaman yang memukau dan kedudukannya di lokasi tarikan pelancong yang terkenal dengan pameran kesenian, turut memberi gambaran tentang diri pemiliknya, seorang usahawan muda penuh keazaman yang  bermula dengan mengusahakan katering bagi warga kampus semasa meniti hari-hari sebagai seorang mahasiswa.

Mohamad Shafiq Kamaruddin, 28, mula menceburi bidang perniagaan makanan semasa tahun pertama pengajiannya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 2011. 

“Saya memulakan perniagaan di kampus dengan modal RM250 ketika itu, yang saya ambil daripada pinjaman pelajaran PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Saya dan Syed Ikhmal (rakan kongsi niaga ketika itu) bermula dengan menjual aiskrim goreng dan hotdog di bawah tangga bangunan asrama kami,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama.

Anak jati Selangor yang memegang ijazah Sarjana Muda Pendidikan ini menempuh perjalanan penuh ranjau dan gagal tiga kali untuk memulakan operasi kafe itu sebelum mencapai kejayaan.

“Minat saya dalam bidang kulinari datang dari dapur ibu dan tok (datuk) saya, mereka mengajar saya segala-galanya tentang makanan dan  dorongan mereka menjadi pembakar semangat untuk saya terus melangkah dalam industri ini,” katanya.

Pada 2013, beliau mendapat peluang untuk mengubah wajah sebuah makmal komputer lama di kuarters asrama  Cahaya Gemilang USM, menjadi kafe pertamanya dan seterusnya melancarkan jenama ‘The Kapits’.

Mohamad Shafiq kini memiliki dua buah kafe di dalam kampus USM; manakala restoren Rumah Kacha by The Kapits pula dibuka di luar kampus pada Mac tahun ini. Beliau turut mengusahakan perniagaan katering dan menggaji sejumlah 34 pekerja.

Dalam usaha memikat kunjungan pelanggan, usahawan muda ini mencipta pelbagai resepi baharu untuk memenuhi citarasa mereka.

Kafe di dalam kampus terkenal dengan kepak ayam goreng, burger gaya Amerika, pencuci mulut buatan sendiri dengan kemudahan khidmat penghantaran di dalam kampus, manakala restoran pula menawarkan sajian tulen serta hidangan barat berkualiti yang diberi sentuhan tempatan, antaranya Masak Lemak Cili Api dengan Pasta Udang.

The Kapits menjadi jenama mantap bagi warga kampus USM dan bukti kepada siswazah yang minat berniaga untuk melakar kejayaan dalam dunia sebenar perniagaan.

Sementara itu, bersempena Hari Belia Antarabangsa 2019 Isnin ini, Shafiq ditanya apakah yang dapat dipelajari oleh kalangan belia daripada kisah kejayaan beliau sebagai pengusaha restoran yang berjaya.

Jawab beliau: “Perlu berani, kerana dunia adalah adil kepada mereka yang sanggup untuk berjaya, dan kegagalan hanyalah sebahagian daripada jalan menuju kejayaan.

“Jangan berputus asa sebab ia adalah sifat semulajadi mereka yang lemah semangat, dan kejayaan bukanlah bagi mereka yang lemah semangat,” katanya sambil tersenyum.

-- BERNAMA