Kejayaan di WCOPA 2019 Kenangan Terindah Buat Eylia

Last update: 09/08/2019

Oleh Farah Adiba Radzuan

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama)-- Eylia Eyre Guntabid, gadis Sabah yang menang besar dalam pertandingan  World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2019 di Long Beach, California baru-baru ini, menganggap kejayaan itu adalah kenangan terindah buatnya sebagai anak seni.

Eylia, 17, berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dengan membawa pulang empat pingat emas dan satu pingat perak.

Juara program Bintang Remaja RTM Sabah 2017 itu merangkul empat pingat emas bagi kategori Vokal R&B, Vokal Dunia, Vokal Terbuka, dan Vokel Gospel.

Manakala pingat perak dimenangi untuk kategori Vokal Broadway di WCOPA yang berlangsung pada 12 hingga 21 Julai yang lalu.

Eylia mengakui bahawa bukan mudah untuknya bersaing dengan peserta yang rata-ratanya berbakat besar, seperti peserta-peserta dari Filipina.

"Saya tidak akan berada di sini tanpa sokongan yang kuat terutamanya daripada kedua ibu bapa saya, keluarga terdekat dan juga pihak pengurusan.

"Saya rasa berdebar apabila melihat bakat peserta dari negara lain, tetapi kita mesti percaya bahawa kita mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya ketika ditemui dalam satu sidang media khas baru-baru ini.

Berentap dengan para peserta dari 72 buah negara, Eylia berkata semasa pertandingan mereka hanya diberikan satu minit sahaja untuk mempersembahkan lagu masing-masing dan beliau sendiri perlu menyanyi untuk lima kategori.

Dalam perkembangan lain, Eylia  memberitahu yang beliau sedang merakam single pertama yang berjudul "Aku Masih Cinta" hasil ciptaan Jasni dan lirik ditulis oleh Mah.

Penyanyi muda ini telah menandatangani kontrak bersama Broadway Entertainment sebelum bertanding di WCOPA 2019.

Syarikat yang diasaskan oleh Boon Tan ini kembali aktif setelah hampir 15 tahun berehat daripada sebarang kegiatan dalam industri muzik.

Menurut Boon Tan, Broadway Entertainment akan berusaha sehabis baik untuk membawa bakat-bakat baharu bagi memeriahkan lagi industri muzik Malaysia.

-- BERNAMA