Bank Muamalat rai 210 kanak-kanak kurang bernasib baik dan kurang upaya

Last update: 18/05/2019

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Kira-kira 210 kanak-kanak kurang bernasib baik dan kurang upaya dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini diraikan pada majlis ‘Breakfast & Furious 6’ Bank Muamalat yang diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, kanak-kanak berkenaan adalah dari pelbagai NGO termasuk Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser, Rumah Bakti Al-Kausar Bangi, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Berkat Kasih dan Autism Nasom.

“Ini adalah acara tahun keenam berturut-turut. Kanak-kanak berkenaan turut diberi peluang dalam sesi menaiki kereta dari Lotus Official Club Malaysia, Lotus Cars Malaysia, BMW Motorride Club Malaysia (BMWMCM) dan Kelab Motor berkuasa tinggi Bank Muamalat (ROKEB),” katanya. 

Pada majlis itu, para tetamu juga menerima hadiah istimewa termasuk duit raya daripada Bank Muamalat. 

-- BERNAMA