UUM sokong keputusan kekal kuota kemasukan pelajar program matrikulasi universiti awam

Last update: 18/05/2019

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) mendukung penuh keputusan jemaah menteri untuk mengekalkan kuota kemasukan sebanyak 90 peratus pelajar Bumiputera dan 10 peratus pelajar bukan Bumiputera bagi program matrikulasi universiti awam.

Naib Canselornya, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, kuota kemasukan itu yang menambah bilangan kemasukan pelajar kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini, dilihat amat adil kerana selari dengan matlamat asal program matrikulasi semasa ia diperkenalkan.

"(Program itu bagi) membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan pra-universiti yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

"Perlu diingat bahawa program matrikulasi ini diperkenalkan khusus untuk pelajar Bumiputera ekoran masalah ketidakseimbangan kaum di universiti sehingga Jemaah Menteri di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Jun 2002 meluluskan peruntukan 10 peratus kuota bagi pelajar bukan Bumiputera mulai sesi kemasukan 2003.

"Oleh itu, keputusan Jemaah Menteri pada 24 April lepas, menambah bilangan kemasukan pelajar adalah konsesi kedua setelah 16 tahun diberikan oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah pelajar bukan Bumiputera yang berkelayakan tetapi tidak mendapat tempat pengajian selaras dengan misi dan visi Malaysia Baharu yang lebih inklusif ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 April lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) ditambah kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan melihat keperluan untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang terdapat pada program matrikulasi wajar dimaksimumkan bagi tujuan itu.

-- BERNAMA