LIAM bekerjasama dengan BNM, MTA, PIAM tingkat kesedaran tentang Perlindungan Tenang

Last update: 18/05/2019

Oleh Arthur Edward

KOTA KINABALU, 18 Mei (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM),  Persatuan Takaful Malaysia (MTA),  dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) untuk meningkatkan kesedaran tentang manfaat Perlindungan Tenang.

Naib Presiden LIAM  Rangam Bir berkata dengan perlindungan asas di bawah Perlindungan Tenang, rakyat Malaysia khususnya kumpulan berpendapatan rendah (B40) kini boleh melindungi diri mereka dan keluarga daripada risiko dengan kadar  premium hanya dari beberapa ringgit sebulan.

“Perlindungan Tenang adalah inisiatif kebangsaan yang dibangunkan LIAM, MTA dan Persatuan PIAM) dengan sokongan BNM. Oleh itu kami berharap lebih banyak syarikat insurans dan pengendali takaful menawarkan produk perlindungan itu bagi memenuhi kehendak dan keperluan semasa rakyat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Rangam berkata untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kepada pelanggan, LIAM sekali lagi akan bekerjasama dengan PIAM dan MTA serta Nielsen Malaysia bagi menjalankan Kajian Indeks Kepuasan Pelanggan untuk menilai pengalaman pelanggan berdasarkan Piagam Perkhidmatan Pelanggan (CSC) pada  Julai dan Ogos tahun lepas.

“Tinjauan ini bagi mendedahkan empat bidang utama yang perlu diperbaiki oleh industri, iaitu meningkatkan kesedaran pelanggan terhadap CSC, mengendalikan harapan dan jangkaan pelanggan, meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dan memanfaatkan media tradisional dan digital bagi merangka strategi perkhidmatan pelanggan yang berkesan,” katanya.

Sementara itu, Rangam berkata LIAM turut menyumbang ke arah pembangunan negara melalui program pembangunan bakat Program Latihan Berstruktur.

“Sejak pelancaran program pada September 2016, industri ini telah mendaftar lebih 370 pelatih dalam 10 kelompok yang menjalani latihan selama tiga bulan hingga enam bulan dengan syarikat ahli LIAM.

“Para peserta turut dilatih dalam bengkel dua hari oleh fasilitator profesional untuk memupuk kualiti kepimpinan, kemahiran komunikasi dan pembentangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang meninjau kemungkinan bagi pelajar dari Sabah untuk menjalani latihan di syarikat cawangan anggota LIAM di Sabah dan percaya usaha itu akan menggalakkan lebih banyak pelajar dari negeri itu untuk menyertai industri insurans sebagai kerjaya pilihan.

“Kami akan membina industri insurans dinamik di mana rakyat Malaysia akan lebih lebih prihatin tentang penting nya perancangan jaminan kewangan dan perlindungan insurans menerusi apa yang kami tawarkan,” katanya.

-- BERNAMA