Takaful IKHLAS, Islamic Aid Malaysia agih juadah buka puasa melalui program Mangkuk Tingkat IKHLAS

Last update: 16/05/2019

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Takaful IKHLAS bersama Islamic Aid Malaysia (IAM) pada Rabu melalui program Mangkuk Tingkat IKHLAS mengagihkan juadah berbuka puasa yang disediakan dalam mangkuk tingkat  kepada Institut Jantung Negara (IJN) dan Maahad Nur Taqwa Lidirasah, Kedah. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad  Eddy Azly Abidin  telah menyampaikan sejumlah 150 unit mangkuk tingkat berisi lauk pauk dan kuih-muih kepada Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub, untuk diedarkan kepada kakitangan IJN. 

“Program Mangkuk Tingkat IKHLAS dianjurkan pada tahun ini sebagai tanda penghargaan kami kepada doktor, jururawat dan pembantu perubatan IJN yang telah bekerja keras setiap hari bagi menjaga kesihatan dan kesejahteraan para pesakit, “kata Eddy Azly dalam satu kenyataan pada hari ini. 

Katanya program sebegini juga membolehkan Takaful IKHLAS untuk mendekati masyarakat terutama golongan yang kurang bernasib baik. 

Selain IJN, Takaful IKHLAS juga berkongsi kegembiraan Ramadan bersama anak-anak yatim dan fakir Maahad Nur Taqwa Lidirasah Islamiah dengan mengedarkan 50 unit mangkuk tingkat berisi juadah berbuka puasa kepada mereka. 

Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab korporat Takaful IKHLAS di bawah jenama IKHLAS Untuk Komuniti.


-- BERNAMA