MARDI nafi kaitan dengan produk kunyit hitam DR4 dipasarkan Volten

Last update: 15/05/2019

SERDANG, 15 Mei (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) hari ini menegaskan bahawa ia tidak mempunyai kaitan dengan produk kunyit hitam produk DR4 yang dipasarkan syarikat Volten.

Pengarah Urus Tadbir dan Perundangan MARDI Mohd Rashid Rabu berkata tindakan undang-undang akan diambil jika pihak syarikat Volten enggan menarik semua pengiklanan yang mengaitkan produk DR4 dengan MARDI.

"MARDI menafikan sebarang kaitan dengan produk kunyit hitam DR4 di pasaran dan pihak Volten telah menyalahgunakan logo MARDI pada produk pengiklanannya," katanya dalam sidang media di sini hari ini berikutan kekeliruan mengenai produk kunyit hitam yang ditularkan melalui laman media sosial.

Mohd Rashid berkata pihak MARDI hanya mempunyai kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan syarikat Black G Sdn Bhd dalam menghasilkan produk makanan dan kesihatan berasaskan kunyit hitam berikutan perjanjian yang ditandatangani pada 2016.

"Pada 2018, pihak MARDI dan Black G Sdn Bhd bersetuju untuk mengkomersialkan produk hasilan (R&D) ini melalui perjanjian pelesenan teknologi di bawah jenama Black G," katanya.

Black G Sdn Bhd tidak mempunyai kaitan dengan syarikat Volten, katanya.

Mohd Rashid berkata pihak MARDI turut menerima panggilan daripada pengguna produk DR4 berkaitan isu kesihatan.

Justeru, beliau berkata pihak syarikat Volten harus menarik balik segala promosi produknya yang dikaitkan dengan MARDI atau Black G kerana dikhuatiri ia akan mengelirukan pengguna serta demi kesihatan mereka.

-- BERNAMA