MIYIO; Malaysia menang 51 emas

Last update: 14/04/2019

SUNGAI PETANI, 14 April (Bernama) -- Malaysia berjaya  memenangi 51 pingat emas, 72 perak dan 35 gangsa menerusi 152 projek dalam tujuh kategori pada pertandingan Malaysia International Young Inventors Olympiad (MIYIO) 2019, di sini hari ini.

MIYIO 2019, yang bermula Jumaat lepas, mendapat penyertaan 10 negara dengan 259 projek inovasi dipertandingkan dan antara negara yang mengambil bahagian termasuk Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, Thailand dan Turkmenistan.

Sejumlah 259 projek inovasi dalam bidang seperti bioteknologi, elektronik, mekanikal dan produk kitar semula dipertandingkan.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pendidikan, Shamsuddin Mustapha berkata, projek yang berpotensi juga akan dipatenkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan sehingga kini sebanyak 150 produk inovasi yang terhasil daripada pertandingan itu telah pun dipatenkan.

"Ppertandingan seumpama itu dilihat boleh menjadi sebagai antara salah satu persediaan negara ini menuju era Revolusi Industri 4.0 nanti,” katanya kepada pemberita selepas menutup pertandingan itu yang masuk kali kelapan tahun ini, di sini hari in.

Beliau berkata pertandingan tersebut merupakan platform terbaik untuk mendedahkan pelajar dengan bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta inovasi sekali gus berpotensi dapat melahirkan lebih ramai lagi saintis muda di negara ini.

-- BERNAMA