Drama Nur Musim Kedua Kembali Di TV3

Last update: 03/04/2019

Oleh Nurul Hannah Mohd Yusof

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Setelah drama Nur musim pertama berjaya mencatat fenomena dengan menarik 11 juta penonton di TV3, ia kini muncul dengan musim kedua.

Penerbitnya, Primeworks Studios Sdn Bhd berkata dalam kenyataan, musim kedua yang mula bersiaran semalam, boleh ditonton setiap Isnin hingga Khamis di Slot Samarinda, TV3 pada 10 malam.

Drama Nur yang membawa kisah cinta terlarang antara seorang pendakwah agama, Adam dan seorang pelacur bernama Nur, menampilkan barisan pelakon yang sama dalam musim kedua seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Azar Azmi, Noorkhiriah, Azhan Rani, Raja Atiq, Eyra Hazali, Datuk Jalaluddin Hassan dan Fatimah Abu Bakar serta watak-watak baharu.

Melalui perjanjian antara Primeworks Studios dengan perkhidmatan TV internet terkemuka iflix, peminat berpeluang untuk menikmati Nur 2 di laman iflix hanya 1 jam selepas tamatnya siaran di TV3. Nur musim yang pertama turut disiarkan di laman iflix sejak 22 Mac lalu.

Pengarah Global iflix, Aturcara Kandungan Asli, Mark Francis berkata, "Populariti Nur yang telah terbukti dengan penonton TV3 membuatkan cita-cita iflix untuk berkolaborasi dengan Primeworks Studios pada musim kedua sebuah percaturan yang bijak.”

KOLABORASI

"Kami percaya kolaborasi antara Primeworks Distribution dan iflix menandakan kepentingan dalam bekerjasama. Sebagai pengedar kandungan, ianya adalah penting bahawa kandungan kami dapat diakses oleh khalayak di semua platform, sama ada pada saluran linear atau platform OTT,” kata Lyn Nasihin, Pengurus Besar Primeworks Distribution, syarikat pengedar Primeworks Studios.

Pelancaran Nur 2 juga buat kali pertamanya memperkenalkan hasil kolaborasi produk bersama jenama Blancheur, menampilkan pilihan tudung segera dan telekung di bawah koleksi Arjana yang direka khas bagi menepati latar belakang watak dan kisah Nur.

"Saya ingin menyatakan bahawa kami di Blancheur sangat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada projek yang luar biasa ini. bagi saya, hubungan kerja yang baik antara Blancheur dan TV3 menjadi pemacu kepada keindahan koleksi ini, "kata Pengasas Blancheur, Datin Haslinda Abdul Rahim.

Susulan kejayaan novel Nur yang pertama hasil tulisan Rose Harissa, Penerbitan Karya Seni Sdn Bhd telah melancarkan Nur 2. Kedua-dua buah novel, Nur dan Nur 2 adalah hasil tulisan yang diinspirasi berdasarkan skrip oleh Shahrulezad Mohamedddin, juga penerbit dan pengarah drama bersiri Nur.

"Selaras dengan matlamat kami untuk menghasilkan lebih banyak penerbitan berdasarkan siri drama, filem dan kandungan digital, saya sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan kedua-dua musim Nur kepada sebuah novel," kata Pengarah Urusan Karya Seni Sdn Bhd, Datuk Sri Wan Muzri Ramli.

Kedua-dua novel tersebut  boleh didapati di kedai-kedai buku terkemuka di seluruh negara termasuk Popular, MPH, Kinokuniya dan Syarikat Muda Osman.

-- BERNAMA