Tiga Penulis Kongsi Pengalaman Mengenai Kanser

Last update: 02/04/2019

 Oleh Nurul Hannah Mohd Yusof & Sivanandini Narayanen

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) – Tiga penulis di bawah Projek Lavender 2 (PLT): Kanser, Catatan Hati Tentang Reda, berkongsi pengalaman mereka mengenai kanser.

Anita Aziz, Mimi Salleh dan Wan Erni Suria berkongsi mengenai penulisan mereka pada sesi Rehat & Baca di Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) 2019, yang dipengerusikan Pengasas Dua Penulis PLT dan Penerbit Projek Lavender,  Norsa’adah Ahmad, semalam.

“Sesi Rehat & Baca memberi peluang kepada penulis dan penerbit yang menyertai PBAKL 2109 untuk berkongsi tentang buku mereka serta memberi pendedahan kepada pembaca dan pengunjung tentang buku yang dihasilkan,” katanya semasa ditemui selepas sesi tersebut.

Projek Lavender 2 merupakan lanjutan kepada Projek Lavender: 22 Kisah Pejuang Kanser Yang Cekal Melawan yang dilancarkan pada tahun lepas. Ia mempamerkan susunan kandungan buku yang berbeza berbanding dengan buku yang pertama dengan penambahan sudut pandangan sukarelawan yang membantu pesakit kanser.

Pada sesi semalam, Anita, yang didiagnos menghidap kanser AML pada November 2017, berkongsi tentang pengalaman dirinya sebagi pejuang kanser serta kepentingan konsep hening syukur dalam menghadapi penyakit itu.

SUDUT PANDANGAN MAJIKAN

Bagi Mimi, ketiadaan sudut pandangan majikan terhadap pesakit kanser ketika membaca Projek Lavender pertama, menyebabkan beliau terpanggil untuk berkongsi pengalamannya sebagai majikan.

Beliau yang pernah berurusan dengan pekerja bawahan yang menghidap kanser menerangkan hak-hak yang patut diterima oleh pekerja tersebut dalam buku keduanya.

Wan Erni pula menceritakan kisah dirinya yang pernah terlibat dengan kerja sukarelawan di bawah Shine A Light Support Centre, Coventry, United Kingdom, pusat sokongan bagi kanak-kanak yang menghidap kanser serta ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Norsa’adah juga berkata buku Projek Lavender: 22 Kisah Pejuang kanser Yang Cekal Melawan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Buku Umum Terbaik Kategori Inspirasi bersempena Anugerah Buku Negara 2019.

Buku Projek Lavender 2: Kanser, Catatan Hati Tentang Reda boleh didapati di reruai 4087, Dewan Tun Razak 4, Aras 4, PWTC sepanjang PBAKL 2019 berlangsung dari 20 Mac hingga 7 April 7.

-- BERNAMA