"Street Attack" Diadakan Sempena Pameran Francais Antarabangsa 2019

Last update: 01/04/2019

Oleh Nur Hazirah Samsudar

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) – Program "Street Attack" diadakan baru-baru ini sempena Persidangan dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2019 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 5 hingga 7 April ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata dalam kenyataan, program yang diadakan di Fahrenheit 88 dan Sogo itu  disertai 25 peserta yang mempersembahkan dua jenis tarian, tradisional dan persembahan flashmob.

Semasa program yang diadakan Sabtu lalu, "Kumpulan Street Attack" bergerak ke Fahrenheit 88 dengan menaiki bas Hop On yang disewa khas sebelum berakhir di destinasi kedua iaitu di Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, kira-kira 8 kilometer dari lokasi pertama.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNHEP, Datuk Badrul Hisham Mohd turut serta dalam program promosi ini yang dianjur bersama pihak kementerian, Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan pemain industri francais.

FIM 2019 merupakan pameran francais tahunan yang terbesar  membabitkan penyertaan dari dalam dan luar negara di samping membuka peluang pempamer, pengunjung atau peserta pameran untuk berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat.

Menurut kementerian, persidangan tahun ini ini yang berjaya menarik penyertaan lebih 130 syarikat francais seluruh dunia, memberi peluang kepada orang ramai untuk menghadiri persidangan dan sesi “business matching” dalam mengembangkan industri francais ke peringkat global.

-- BERNAMA