HWGG Capital lancar token tunai bagi transaksi blockchain

Last update: 14/03/2019

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- HWGG Capital PLC yang berpejabat di Labuan serta sebahagian daripada Ho Wah Genting Group, melancarkan HWG Cash iaitu token tunai ditambat fiat pertamanya yang boleh digunakan bagi transaksi secara pantas, selamat dan terjamin menerusi blockchain.

Menurut kenyataan syarikat itu hari ini, HWG Cash yang telah diluluskan dan diselia oleh Pihak Berkuasa Kewangan Labuan, adalah token tunai berlesen pertama di Asia selain menjadi satu-satunya token yang stabil dan selamat dalam kalangan mata wang kripto.

Malah,  setiap token HWC Cash yang dikeluarkan dalam edaran adalah ditambat dengan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat bagi menjamin kestabilan, sekali gus mengelak sebarang risiko ketidaktentuan harga yang dialami beberapa token digital lain di pasaran, kata syarikat yang juga antara peneraju penyedia penyelesaian pembayaran blockchain di rantau ini.

HWG Cash juga boleh digunakan oleh pengguna serta perniagaan menerusi aplikasi pembayaran baharu syarikat itu, HwgPay, yang kini boleh dimuat turun daripada Google Play Store bagi Android serta Apple App Store oleh pengguna peranti iOS.

HwgPay yang memanfaatkan teknologi blockchain adalah dompet aset digital yang boleh digunakan bagi menyimpan, menghantar, menerima serta membuat pembayaran berasaskan aset digital dan token tunai seperti Bitcoin, Ethereum dan HWG Cash.

Malah HwgPay yang melengkapi HWG Cash, turut membolehkan pengguna menikmati pengalaman lancar melakukan transaksi aset digital dalam talian secara selamat dan teratur.

Ketua Pegawai Eksekutif HWGG Capital Gavin Lim berkata : “Aset digital ini semakin mendapat perhatian dan banyak negara telah mengiktiraf potensi serta nilainya sebagai penyelesaian pembayaran dalam talian pada masa depan.

“HWG Cash itu merupakan satu peluang menarik bagi pasaran massa untuk menggunakan token tunai pertama dan satu-satunya di Asia yang ditambat fiat. Kami juga komited untuk menawarkan aset digital generasi seterusnya yang bukan setakat intuitif dan mudah digunakan, tetapi turut dikawal dan diselia di bawah pihak berkuasa yang diiktiraf."

Menurut HWGG Capital, usaha menukar mata wang fiat kepada Token HWG Cash juga membabitkan proses yang mudah.

Pertamanya, pengguna perlu mendeposit mata wang fiat mereka kepada satu akaun khusus HWGG Capital PLC untuk ditukar kepada Token HWG Cash. Ini akan membolehkan mereka menggunakan token itu bagi melakukan pembayaran dan transaksi aset digital menerusi aplikasi HwgPay.

Begitu juga bagi pengguna yang mahu mengeluarkan wang, boleh menebus Token HWG Cash kepada mata wang fiat daripada syarikat menerusi platform masing-masing dan ia akan dikreditkan ke dalam akaun bank pengguna selepas itu.

Akaun khusus HWGG Capital PLC itu turut diaudit setiap suku tahunan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi tujuan pemantauan, sekali gus memastikan aset pengguna dan pedagang dilindungi.

Manfaat lain HWG Cash termasuk tiada fi pengeluaran bagi pengguna serta kecairan segera daripada aset digital kepada tunai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknikal HWGG Capital Yoshikazu Nishimura berkata : “Token digital ini sudah lama wujud tetapi kurang digunakan di pasaran berikutan kalangan pengguna kurang memahami atau percaya, ketidaktentuan harga serta kebimbangan lain yang berkaitan dengan teknologi blockchain tersebut.

“Token HWG Cash itu menggunakan rantaian teknologi awam everiToken sebagai terasnya berikutan keselamatan, kelajuan dan mudah digunakan.

"Pengguna dan pedagang masih boleh menggunakan transaksi aset digital tanpa perlu bimbangkan aspek turun naik harga, risiko keselamatan, fi tambahan serta campur tangan pihak ketiga," katanya.

Maklumat lanjut mengenai HWGG Capital PLC dan HWG Cash boleh diperolehi menerusi laman sesawang www.hwggcapital.com / www.hwgcash.com

-- BERNAMA