BAM bersikap terbuka berhubung penyertaan Chong Wei pada Terbuka Malaysia

Last update: 13/03/2019

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersikap terbuka  sekiranya  jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berhasrat menarik diri daripada Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata yang dijadualkan berlangsung di Arena Axiata dari 2 hingga 7 April ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu perlu mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya sebelum dibenarkan beraksi pada kejohanan peringkat ketiga Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu yang menawarkan wang tunai berjumlah  US$700,000 (RM2.862 juta).

"Saya difahamkan beliau perlu mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya pada minggu depan, jadi kita tunggu keputusan tersebut. Sebagaimana yang kita katakan sebelum ini kesihatan beliau  (Chong Wei) lebih penting.

Jualan tiket untuk Terbuka Malaysia juga agak baik, mungkin disebabkan peminat ingin melihat Chong Wei kembali beraksi, namun kita harus bersikap adil kepada beliau kerana kita hendak beliau kembali kepada keadaan asal,”katanya.

Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga MOM ke-11 bagi penggal 2018-2021 di sini, hari ini.....