Kembali Fitrah Terus Bersiaran Sebarkan Dakwah

Last update: 13/03/2019

Oleh Farah Fatini Sulaiman

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Program Kembali Fitrah siaran TV Hijrah kembali dengan musim terbaharu untuk terus menyebarkan dakwah merentasi sempadan budaya dan bangsa dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Kembali Fitrah memilih untuk mengangkat kisah kejayaan beberapa orang muallaf dalam pelbagai bidang kerjaya yang diceburi untuk mendekati dan membimbing mereka  pada musim ini.

Penerbit Kembali Fitrah, Nornizam Mohd Ghazali berkata dalam kenyataan, pemilihan panel jemputan muallaf yang akan berkongsi kisah kejayaan hidup mereka pada setiap episod dibuat berdasarkan beberapa kriteria.

“Sebagai contoh, kita memilih untuk menampilkan Robert Ta Honn Yu @ Ahmad Hafizh Amiruddin Ta Abdullah, seorang muallaf berbangsa Cina yang bertugas di Multiracial Reverted Muslim. Beliau dikenali di kalangan bukan Islam atas usaha dakwah melalui pendekatan secara ramah dan damai,” kata Nizam.

“Paling utama, panel-panel jemputan adalah antara indvidu yang memilih jalan dakwah sebagai landasan perjuangan dan padang tempur untuk berkongsi ilmu dan pengalaman,” ujarnya.

Setiap episod rakaman Kembali Fitrah diadakan di masjid-masjid berbeza sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antaranya Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Diraja Bukit Jelutong, Masjid Puchong Perdana dan Masjid Glenmarie.

Kembali Fitrah musim keempat dan kelima tajaan Lembaga Zakat Selangor disiarkan setiap Selasa, jam 7.30 malam di TV Hijrah bermula 5 Mac lalu. Ia mengekalkan Profesor Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Syafiq Raffiqin Liow selaku pengacara.

--  BERNAMA