Sindiket tawar kursus guna teknik MLM kini dalam siasatan

Last update: 07/02/2019

PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) --  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menubuhkan satu pasukan petugas untuk menyiasat laporan kewujudan sindiket yang menawarkan  kursus perniagaan digital dengan menggunakan teknik pemasaran pelbagai aras (MLM) seperti yang didedahkan sebuah akhbar.

Menterinya  Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini berkata bahagian penguat kuasa KPDNHEP sudah mengambil keterangan saksi-saksi terlibat dengan beberapa alamat dan syarikat yang telah dikenal pasti sebagai dalang kepada sindiket itu. 

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Seksyen 4(1) Skim Anti Piramid 1993 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 katanya. 

Saifuddin Nasution berkata 10 pegawai terlibat secara langsung dalam mengendalikan siasatan itu.

Beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati agar tidak melibatkan diri dalam skim seumpama itu dan meminta pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi Enforcement Command Centre (ECC) di talian 03-88826088. 

-- BERNAMA