Empat lokasi di Taiping bakal diiktiraf tapak warisan kebangsaan

Last update: 10/01/2019

TAIPING, 10 Jan (Bernama) -- Empat lokasi unik di bandar warisan di sini bakal diiktiraf sebagai tapak warisan kebangsaan tidak lama lagi, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Datuk Abdul Rahim Md Ariff.

Beliau berkata tempat bersejarah itu ialah bangunan Stesen Keretapi Taiping, Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Kota, Bangunan Sanitary Board dan Hutan Paya Laut, Matang yang sedang dalam proses untuk mendapat pengiktirafan dari pada Jabatan Warisan Negara.

Katanya, pada Oktober 2018, Taman Tasik Taiping dan Bangunan Telegraf di sini telah diwartakan sebagai tapak warisan kebangsaan mengikut Akta 645 Akta Warisan Kebangsaan manakala Kota Ngah Ibrahim, Matang pula diwartakan pada Mac tahun lepas.          

"Dengan pewartaan Taman Tasik di sini, sebarang projek pembangunan dalam jarak sejauh 200 meter dari kawasan itu adalah dikawal. Projek pembangunan yang mahu dimajukan hendaklah mendapat kelulusan dari Jabatan Warisan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian papan tanda ‘I Love Taiping’ oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pokok Assam Leow Thye Yih di Lake Front, Taman Tasik Taiping di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata sebelum ini, Perpustakaan Awam Taiping, Sekolah Menengah (SM) King Edward VII, Masjid Melayu, Gereja All Saints, Muzium Perak, Penjara Taiping serta Pejabat Daerah dan Tanah Taiping telah pun mendapat pengiktirafan tersebut.

Mengenai Taman Tasik Taiping, beliau berkata taman yang merupakan bekas lombong bijih timah seluas 64 hektar dan berusia 135 tahun itu antara beberapa taman yang terindah di negara ini malah dilawati lebih 1 juta pelancong setiap tahun.

-- BERNAMA